Selasa, 16 September 2014

Mesej Tuhan

MH370, Feri Sewol dan Tuan Karpal Singh.
Satu di awanan
Satu di lautan
Satu (mewakil ribuan) di daratan.

Dan siapakah dapat menyelamatkan kita (di manapun) jika nahas dan maut menjemput?

Janji Allah SWT itu pasti.

Dari Tokngah Usop

Untuk Ummuhani Abu Hassan yg diserang demam rindu!
"Bila berjauhan baru aku tahu dan sedar erti RINDU. Ia menusuk di setiap rongga kalbu. Yang bukan bukan kenangan muncul meniti ke lembah rindu. Ingatan kenangan ada yang tidak ku pinta...tapi ia tetap datang mengasak. Bagaikan derasnya air banjir yang mengasak tebing. Aduh! rindunya aku kepada sanak saudara. Terbayang Wan Dzohir yang berhati hati mengatur langkahnya. Masih sihatkah dia? Seandainya rindu itu dapat ku ketepikan, ingin ke letakkan di sudut yang jauh agar jarang ku temui....Aduhai rindu

Rindu Bonda 2






Jika matamu sedang menatap 'kaca' tulisanku
seluruh rinduku sedang tumpah
Hanya tidak basah dan mengena pipimu..bonda.

Taerung, 11.47 malam (sedang berebut laptop dengan Darda')

Bunga Ukhwah


Bunga-bunga ukhwah, bunga-bunga permusafiran 

Itulah makna musim bunga bagi kami 







Darda' dan Mimpi Balik Kampung






Aku seorang pengembara, di mana sahaja boleh kulabuhkan mimpi.

Siapa Kawan Darda'?




Baru sebentar tadi saya tanya pada Darda', "Siapa nama kawan-kawan Darda'?" (Dengan harapan dia masih ingat lagi nama kawan-kawannya di nurseri dulu).

Tetapi jawab Darda', "Abi dan umi."

Saya tanya lagi, " Siapa nama kawan-kawan Darda'?"

Darda' jawab, "Abi dan Umi!"

hihihi..betullah tu, siapa lagi kalau bukan kami yang bermain dengan dia sekarang, boleh dikatakan 24 jam.

Darda' dan Nasinya




Berkali-kali Darda' tanya saya, "Umi dah masak nasi belum?". Sejak pagi hingga ke tengah hari saya tidak melihat 'periuk dan kawan-kawannya' kerana membuat slide untuk pembentangan kelas esok. Sarapan pagi juga disediakan oleh Chef Ahmad Dhiak Abdul Hashim, tetapi bukan nasi.

Oleh kerana suara Darda' sudah seperti nak menangis mahukan nasi, saya dengan bersemangatnya 'menolak' laptop ke tepi dan beraksi di dapur. Pertama kali di Korea masak kurma ayam dengan santan kotak bercop halal 'Majlis Ulama Indonesia.' Sementara menunggu ayam empuk, Darda' bersuara lagi..

"Dah masak ke belum?"

Aduhai pertama hatiku, memandangmu buat umi bersemangat melakukan apa sahaja.

"Dah masak Darda'!"

Motor OKU

Pagi yang unik; buat pertama kalinya saya melihat serombongan para pemandu motorsikal OKU berkongsi jalan utama dengan para pemandu lain. Berhati-hati ya tokwan semua.


Hikmah Merantau III



Achik sedang mencari ilham di sisi Sungai Han, Seoul

Saya membaca beberapa buku kehidupan para perantau Melayu di kota-kota besar dunia. Buku Dua Dunia karya Anis Sabirin mengubah pandangan saya terhadap alam Allah Yang Esa. Manusia memang dituntut untuk berjalan di muka bumi Allah dan mencari pengajaran untuk menjadi umat yang terbaik. Mafhum daripada gesaan kalam Allah ini terpancar pada kisah-kisah benar para perantau Muslim dan salah seorangnya adalah penulis itu sendiri; Dr Anis Sabirin.

Anak Melayu kelahiran Johor ini merantau ke Amerika Syarikat bersama suami dan anak-anaknya selama 27 tahun. Di negara Uncle Sam yang berpenduduk seramai 294 juta orang ini, Dr Anis membangunkan kecemerlangan diri dan keluarganya. Dia tidak betah lagi berasa selesa tetapi bersaing untuk menyara keluarga dan mengaut ilmu pengetahuan. Berikut penulis menggambarkan keadaan di tanah rantaunya:

Di Amerika Syarikat, penerbitan buku yang berdasarkan kisah benar tumbuh subur. Pengarang-pengarang Amerika Syarikat boleh begitu bertenaga menulis buku-buku yang tebal dan terperinci tentang kes-kes jenayah yang berlaku pada masa kini. Lebih menghairankan mereka boleh melahirkan karya itu dengan begitu cepat selepas sesuatu kejadian itu berlaku. Selain itu, orang bebas menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana universiti. Orientasi orang Amerika begitu taasub terhadap kejayaan kebendaan dan pencapaian pembaharuan serta ilmu pengetahuan. Mereka suka bersaing. Perantau ekonomi dari negara lain turut sama berlumba membina kejayaan di sini.

Daripada seorang wanita biasa, Dr Anis Sabirin berjaya meletakkan dirinya sebagai salah-seorang profesor ekonomi yang dihormati di Los Angeles. Pulang ke tanah air, beliau menjadi usahawan alat-ganti kereta yang berjaya. Inilah penangan hijrah yang membuka ruas fikir bagi seseorang yang berwawasan.

Selepas membaca buku Dua Dunia, saya berkata pada suami, “Marilah kita pergi berhijrah. Itu sahaja caranya untuk kita memiliki kekayaan pengalaman yang memewahkan iman dan akal fikir. Kita tidak boleh duduk selesa lagi di tanah air. Usia kita masih muda. Anak-anak perlu didedahkan dengan dunia luar.” Suami menyambut saranan saya dengan senyuman. “Ya, kita perlu berhijrah. Akan tiba masa itu, berdoalah pada Allah,” kata suami.

Hampir dua tahun berlalu, kata-kata tersebut akan menjadi ingatan supaya menghargai peluang hijrah yang telah Allah SWT berikan. Hanya kepadaMu Ya Allah segala puji dan syukur.

Menanti Magrib
Taereung, Seoul
4/7/14

Hikmah II

Jumaat ini, Dr Seo memberikan saya artikel bertajuk Legal Pluralism, Religion And Multiculturalism untuk dibentangkan dalam kelas; dengan isu utamanya relevankan undang-undang Syariah diamalkan dalam Negara sekular Malaysia? Ya, di depan sahabat-sahabat yang semuanya non Muslim.

Saya berfikir beberapa minggu ini..
Inilah hikmah saya belajar agama sejak kecil hingga ke universti.
Inilah hikmahnya saya terpaksa mengulangi IELTS tempoh hari

Sebenarnya saya datang ke sini bukan untuk mendalami 'Sastera Melayu' tetapi sebaliknya Allah SWT memperlihatkan peluang dakwah yang jauh lebih penting untuk saya laksanakan.

Adik-adikku, jika niat anda belajar untuk mengejar kerjaya, maka muhasabahlah. Diri kita hanya alat untuk menyebarkan Islam.

Doakan diriku.

Bunga dan Rindu




Rindu sedang mekar,

pada semua di tanah air.

Hikmah Perantau

Dua Cinta Yang Allah kurniakan untuk saya di sini


Di perantauan,

Ada nikmat yang Allah beri, dan ada nikmat yang Allah tarik.

Tidak seperti di tanah air, kami berjalan dan berlari mengejar bas dan kereta api, menelan liur melihat agam restoran dan makanan yang terjual kerana perlu memilih yang halal, hidup menanggung rindu pada ibubapa dan keluarga; rindu yang berat, mencatu wang sebaiknya, berbelanja sekadarnya

Ujian bertambah bila hidup jauh dari rumah Allah. Kiri dan kanan missionaris menghulur salam dan 'risalah'. Kami terbatas menghulur salam dakwah, dek bahasa bicara.

Tetapi manis ujian mula mendakap,
Melihat anak berkembang di depan mata, berbakti setiap masa kepada anak dan suami, saling memahami dan berdikari, berjemaah solat tanpa kompromi, rasa cinta dan rindu semakin kuat kepada ibubapa dan keluarga, menghargai apa sahaja yang ada walaupun secubit gula apatah lagi makanan yang tersisa.

Manis ujian bertambah bila hati sentiasa ingat pada Allah, bertawakal padaNya, berfikir bagaimana mahu mengembangkan agamaNya, berfikir tentang pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat menyebarkan Islam ketika manusia mensyirikkanNya; sesuatu yang kami tidak serius di tanah air kerana 'aman'nya melaksanakan Islam.

Di sini..kami mencari-cari peluang sujud di rumahNya yang tidak dapat kami lakukan setiap masa. Peluang itulah menggugurkan air mata!

Yang ditarikNya belum tentu sama yang diberikanNya; lebih besar nikmatnya.

1 April 2014
Catatan menunggu Magrib

Kisah Sambal


Sambal Ikan Bilis bikinan sendiri pertama di Seoul

Sudah hampir sebulan kami menjadi warga Hanyang (nama lama Seoul). Saya tidak berkira sangat tentang makanan, masak sahaja bahan-bahan yang dibawa dari Malaysia yang kebanyakannya 'segera'. Sambal segera, rendang segera, mi segera, sardin segera, dan serunding.

Tetapi minggu ini sudah tidak boleh 'bersabar' lagi. Saya gesa suami membeli mesin pengisar. Maka, berjalanlah suami saya 2-3 km dari rumah mencarinya. Rupanya di sini, penjualan alat-alat elektrik terletak di satu-satu kawasan, tidak berselerak di tepi-tepi jalan.

Bila sudah ada mesin pengisar, perkara pertama yang dibuat adalah mengisar bawang dan cili. Petang ini, bikin sendiri sambal ikan bilis dengan cili kering yang dikisar, bukan cili segera lagi. Nikmat (pedasnya) bukan main, Alhamdulillah. Ikan bilis di sini amat enak rasanya, rangup dan segar.

Saya berkata pada suami, nanti kita masak laksa pula ya!

(Itu tandanya 'mood' menjadi pelancong sudah hilang, sudah sebati nak tinggal sebagai 'penduduk'.)

Keluarga di Rantau

 Penyelia saya, Prof Dr Koh Young Hun


Prof Dr Lim Kim Hui yang amat baik

Abang Farid, Kak Zah. Amar dan Aina

Jiran Rapat



Keluarga Mbak Meity dan Pak Suray

Sewaktu tinggal di Kuala Lumpur, jarang dapat berjumpa jiran. Hanya beberapa orang jiran yang sempat saya kunjungi. Kehidupan serba-sibuk, dan ada ketika bila lapang, jiran kita pula sibuk. Rasa individualistik masing-masing tebal.

Nah! Di sini kami sebaliknya. Mencari-cari teman Muslim tanpa mengira negara. Apabila bertemu dan mengenali rapat, terasa indahnya seperti saudara. Hati rasa nak selalu berkunjung dan bergaul. Memandang wajah mereka sahaja pun bahagia.

Itulah hikmahnya penghijrahan.

Gambar: Bersama keluarga Pak Suray yang datang dari Yogjakarta. Sudah lama mereka di sini. Pak Suray sedang menghabiskan Phdnya dalam Pengajian Korea. Anak-anaknya juga fasih berbahasa Korea. Isterinya aktif mengadakan kelas pengajian al-Quran untuk anak-anak Muslim Indonesia di sini.

Not Lies!

Semalam kelas saya yang pertama dengan Prof Kim Wook Dong, pakar dan pengkritik terkenal sastera di Korea.

Kelas kami cuma empat orang pelajar perempuan, seorang sahaja 'Oegugin' (maksudnya orang asing, sayalah tu). Dia mengajar seperti tok imam membacakan kitab turath di masjid. Buku dibacakannya kemudian menerangkan setiap sisi ayat.

Buku rujukan kami (yang dibacakan Prof Kim) dalam bahasa Inggeris. Tetapi penerangannya (yang berjela-jela) dalam bahasa Korea.

15 ke 20 minit dia kemudiannya akan berhenti dan bertanya pada 'Oegugin' (saya la tu), "Do you understand what I meant?"

Saya pun berkata, "Yes.." Dia menjawab, "Thats good!"

Kenyataan ini ' not true' but 'not lies'.

Saya cuma berharap suatu ketika, saya 'benar-benar faham' dan 'selesa' dalam kelas.

Janggeum..





Wanita Korea cantik, berani dan penuh pengabdian. Tanpa mereka Korea tidak mungkin berjalan sehingga abad ke 21!
Tetapi..
Mereka bukan sekadar patuh dan merendahkan diri, itu hanyalah 'tampilan luar' belaka." (kata Kevin O'rourke, My Korea-40 Years Without a Househair Hat)

(Terima kasih Janggeum (Lee Young Ae), andalah antara kunci yang membuka hatiku untuk mengenali duniamu, Koreamu)

Umi..Darda' Nak Ikut

Bersiap-siap ke kuliah di HUFS. Tidak seperti di Kuala Lumpur. Kali ini harus menggunakan nikmat kaki yang Allah beri sepenuhnya, berjalan kaki hampir 50 meter, naik tren, berjalan lagi, tukar tren atau bas, berjalan lagi.

Ini bukanlah kesusahan melainkan kenikmatan bagi seseorang dalam meraih ilmu pengetahuan, insha Allah. 

Gambar: Darda' selalu cakap, "Nak ikut umi pergi sekolah!"

Bunga dan Bonda




Melihat bunga-bunga mulai kembang mekar
Wajah bonda segera terbayang
aduh rindunya bonda.

Bo Hyuen dan Chopstiknya


Bo Hyuen yang comel dan berbudi. Dia fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi kami lebih banyak berbual dalam bahasa Inggeris. Semalam, seharian dia menemani saya membuat pemeriksaan dan menjadi penterjemah antara saya dengan jururawat dan doktor.

Ketika Bo Hyuen nampak lapar, saya menyuruhnya makan dahulu. Kami ke restoran berhampiran. Saya sekadar menemaninya dan berkongsi cerita, tidak makan dan minum.

Melihat cara gadis Korea menyantuni makanan, saya kira bekas nasi mereka yang kecil itu melatih mereka berhati-hati walaupun cara suapannya pantas.

Mana Milik Kita?

Ke Mana Menghilangnya MH370?

Petang nan dingin, jenuh saya memaksa Darda' tidur. Sambil menepuk-nepuknya, saya mendendangkan nasyid yang biasa saya lantunkan di telinga Darda' ketika di Malaysia. Tiba-tiba, air mata saya bergenang dan mengalir. Saya amat rindukan mak, ibu mentua, abah, tokwan, adik-adik, semuanya. Setakat hari ini saya belum lagi mendengar suara mak, ibu mentua dan tokwan. Telefon saya tidak dapat lagi 'menyeberangi' talian Malaysia.

"Umi syedih (sedih)?" tanya Darda' sambil melihat air mata saya. Saya kesat dan senyum padanya. Cuba membuang rasa pilu jauh-jauh. Perjuangan baru bermula.

Selepas Maghrib, saya membaca akhir Surah an-Nur:
"Ketahulilah , milik Allahlah apa yang di langit dan di bumi. Dia Mengetahui keadaan kamu sekarang. Dan Mengetahui pula hari ketika mereka dikembalikan kepadaNya, lalu diterangkanNya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Dan Allah Maha Mengetahu segala sesuatu."

Ayat ini benar-benar memujuk hati. Walaupun jauh dari tanah air, saya masih berada di bumi milik Allah. Allah yang Menjaga semuanya. Allah yang Menyusun semuanya.

Kehilangan pesawat MAS juga dalam PengetahuanNya. Saya dan keluarga menaiki MH006 Selasa lalu. Allah mentakdirkan perjalanan kami selamat. Semuanya tidak lepas dari susunanNya. Dan kita perlu setiap masa bergantung padaNya.


Kalut di Hati

Kalut.

Memang saya sesuai tinggal di Korea Selatan. Orang di sini terutama orang-orang tuanya berjalan laju dan tidak duduk diam. Semakin tua, semakin mereka mahu bekerja untuk sihat. Sejak mula kuliah, saya berjalan laju mengejar tren, panjat tangga dan berlumba-lumba dengan masa seperti mereka yang 'kalut' itu.

Terlupa pula saya mengandung sudah 6 bulan. Prof Koh yang amat prihatin mengingatkan saya akan hal itu.

Masjid Itaewon Yang Suci





Darda' dan abi di Masjid Itaewon buat pertama kalinya/ 7 Mac 2014

Hari ini buat pertama kalinya suami akan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Itaewon jam 12.44 petang. Oleh kerana agak jauh dari rumah dan saya ada kuliah jam 3 petang, maka kami keluar bersama-sama.

Darda' menjadi 'pejuang' yang berkorban untuk umi dan abi. Berkorban meredah sejuk serendah -5 Celcius dan semoga Allah SWT menjadikannya anak yang soleh dan bermanfaat buat manusia nanti, amin.

Bahasa Melayu di HUFS






Hari pertama saya ke Jabatan Pengajian Melayu-
Indonesia semalam, saya gugup. Sebenarnya lebih kepada terharu. Saya disambut oleh adik-adik mahasiswa Ijazah pertama (dari jabatan ini) yang semuanya berbangsa Korea. Dan mereka menyapa saya ,"Ibu..", kami berbual dalam bahasa Melayu (lebih banyak bahasa Indonesia).

Di sini, buku-buku Melayu pelbagai genre (sastera, politik, budaya, pemikiran, falsafah) banyak sekali. Tentunya milik Prof Koh (penyelia saya yang mendapat M.A dan Phd dari Universiti Malaya). Dan adik-adik ini tugas mereka adalah 'mempromosikan bahasa dan budaya Melayu' kepada masyarakat Korea khususnya di kampus HUFS.


Bukan bahasa Melayu sahaja, ada berpuluh bahasa dunia diajarkan di sini tetapi profesor dan pensyarahnya kebanyakan orang Korea sendiri. Namun, sesama mereka, mereka hanya bercakap bahasa Korea sahaja.



Saya belajar dari sikap dan budaya tinggi orang Korea terhadap bahasa ibunda mereka. Mereka cuba menguasai dunia dengan belajar bahasa masyarakat dunia (misalnya saya yang datang belajar tentang budaya dan sastera Melayu pula kepada orang Korea) tetapi bahasa Korea diletakkan di makam tertinggi dalam kehidupan seharian. Orang yang datang ke Korea wajiblah tahu bahasa Korea, tidak perlu tahu bahasa Inggeris pun tidak mengapa. Pegawai Bank, pegawai tinggi universiti, para pensyarah dan masyarakat awam mereka amat 'mendewakan' bahasa Korea, tidak pun berasa malu tidak tahu bertutur bahasa Inggeris.

Ini adalah kontek masyarakat Korea terhadap bahasa ibunda yang mungkin elok (dan mungkin tidak elok bagi setengah orang) untuk dimartabatkan di Malaysia.



Selamat Mencuba Makanan Korea Umi!








Dua pelajar dari Jabatan Pengajian Melayu dan Indonesia, Seok dan temannya beriya mahu belanja saya makan. Mereka pernah tinggal di Depok, Indonesia dan tahu Muslim tidak makan khinzir.

Jadi kami makan di restoran ikan bakar. Saya hanya makan nasi, ikan dan kentang rebus sahaja. Ada kimci dan sayur yang lain tetapi saya tahankan dulu keinginan itu.

Tiba-tiba teringat Adinda Hajar Mardhiah.

Hati Yang Kami Tinggalkan

Keluarga di Kedah yang mengiringi kami di Airport Alor Setar

Buat adik-adik lelakiku: Pak Ndak Hamdi, Mohd Haris Abu Hassan dan Husaini Abu Hassan.

Jangan mudah mengalah dengan susah-senang kehidupan, ianya sementara. Mari kita hijrahkan diri, meneroka luas bumi Tuhan untuk mencari dan menyebarkan cintaNya. Kakak cuba menjadi teladan, hanya mencuba dan belum tentu berjaya tetapi kalian juga perlu mencuba mencontohinya. Mari kita bersama-sama di sini dan di sana (akhirat).

Salam sayang, sudah mahu ke kuliah. ( jam 7.58 pagi waktu Seoul, cuaca -3 celcius).

Selera Rantau





Aduh berselera sekali Darda'. Inilah masakan pertama saya untuk keluarga semalam iaitu ikan sardin. Kami makan dengan kicap dan serunding ikan bilis. Cuaca sejuk di luar bilik juga cemburu melihat kami tambah hingga 3 kali. Berasnya saya bawa dari Malaysia dan Cap 1Malaysia, barangkali itu menambahkan lagi 'selera'

Ada Syurga di Wajah Kalian

emak dan abah adalah awan kepada kami

Ketika mahu berpisah dengan keluarga di terminal Alor Setar dan KLIA, saya berkata pada diri, 'Aku tidak boleh menangsi kerana ini pilihanku untuk hijrah ilmu.'

Tetapi bila sahaja memeluk emak dan abah, air mataku tidak tahan lagi. Jatuh lebih laju daripada hujan. Sekarang gambar mereka jadi pengubat rindu dari Tanah Kimchi.

Musim Rindu Bermula


Esok bermulanya pengajian dan berjumpa penyelia, tidak dapat lagi 'melancong' seperti orang Malaysia yang berbondong datang ke Seoul dengan kami semalam. Walau bagaimanapun sudah dapat menunaikan solat Asar di Masjid Itaewon, makan kebab Turki dengan Dr Lim Kim Hui dan mengenali selok-belok tren yang akan menjadi pengangkutan utama ke kuliah.

Darda' sudah tahu menyebut 'kamsahamnida' pada kami dengan loghatnya yang tersendiri.

Rindunya pada semua. Mak...

Wajah-Wajah Yang Mengiringi Kami di KLIA





Pesanan Murabbi Sebelum Berhijrah


Tiga aset menjadi bahagia.

1. Sabar- hidup sentiasa kena bersabar kerana matlamat kita adalah akhirat. Sabar adalah kemenangan sebelum kemenangan. Allah cinta orang sabar, tentulah cinta Allah memberi bahagia.

2. Redho- pasrah dan yakin dengan apa yang ditetapkan Allah dalam hidup kita. Tidak kira apa situasi dan ujian yang hadir, yakin itulah terbaik dan mempunyai hikmah yang besar di sebaliknya.

3. Semua yang kita ada adalah milik Allah- perasaan ini menghalang hati daripada sifat riak dan takabur, malah mendidik kita makin tunduk pada Allah dan malu dengan pujian manusia. Jika dicaci pun tak mengapa jika perjuangan untuk agamaNya.

Terima kasih guruku, Syeikh Mohd Zainul Asri bin Hj Ramli yang menitipkan pesan ini buat kami suami isteri semalam. Akan kami jadikan bekal dalam hijrah kehidupan, Insha Allah.

Rindu Nasi Lemak



Alhamdulillah, selamat tiba di Seoul. Suhu pagi tadi sekitar 0 celsius benar-benar memeranjatkan Darda'. Dan tiba sahaja di rumah tempat kami tinggal sepanjang musafir ilmu ini, Darda' berkata," Umi..nak nasik lemak telur..."

Telur ayam pun belum kami temui.

Perjalanan Kami Bermula 3 Mac 2014

Doa orang Mukmin itu adalah senjata. 
Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan bantu memudahkan urusan musafir kami. Hanya Allah dapat membalas jasa kalian. 
Insha Allah, saya, suami dan anak akan terbang ke Seoul, Korea Selatan pada 4 Mac ini untuk menyambung pengajian PhD Sastera Melayu di Hangkuk University Of Foreign Studies.
Ampun maaf atas salah dan silap, kata- kata kasar yang mengguris serta budi yang tidak terbalas. 

Mohon terus mendoakan kami dari jauh.