Ahad, 21 September 2014

Mencari Panas di Luar Seoul



Selepas lawatan pertama di Klinik Wanita dan Kanak-Kanak di Taerung, kira-kira 15 kilometer dari rumah sewa kami, saya terus menetapkan niat untuk pulang bersalin di Malaysia. Cadangan itu saya usulkan kepada suami, dia yang pada mulanya nampak agak berat (kerana baharu sahaja sebulan lebih kami tiba di Seoul) akhirnya bersetuju. “Asalkan tidak risiko pada kandungan,” katanya.

Ianya gara-gara kos bersalin yang tinggi. Di Korea Selatan, hampir tidak ada hospital bersalin percuma (seperti hospital kerajaan di Malaysia). Kebanyakan hospital adalah milik swasta dan universiti. Penduduk Seoul wajib membayar cukai kesihatan untuk membolehkan mereka mendapat rawatan kesihatan yang murah. Sejak kecil, ibubapa membayarkan cukai untuk anak-anak mereka, dan apabila dewasa (setelah bekerja) anak-anak ini akan membayar sendiri cukai kesihatan dan cukai kehidupan yang lain. Dengan cukai, perkhidmatan kesihatan di Korea bertaraf antarabangsa. Yang tidak ‘lima bintangnya’ hanyalah bahasa. Kebanyakan doktor perubatan tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun mereka dapat memahaminya. Untuk tiga kali rawatan di hospital, saya terpaksa membawa teman yang fasih berbahasa Korea untuk menjadi penterjemah.

Yang Kemerah-merahan





Seperti pipi gadis Korea yang kemerah-merahan 
dan bibir merah jambu mereka
yang terletak di wajah putih jernih
Bagaikan bayi yang menguap manja

(Gambar: Dawud jadi mangsa kesukaan umi pada 'pink Korea' yang mengujakan)

Tulisan Hangul Pertamaku



Ops! Ada yang salah di sini....

Korea dan Sikap Siap Sedianya



Pagi Sabtu yang tenang; Dawud tidur nyenyak selepas dimandikan air hangat dan umi siap-sedia berkongsi sesuatu kepada para pembaca Facebooknya.

Agak ajaib, dengan purata lebih 10 juta penduduk di Seoul, kita tidakmengalami apa yang dikatakan 'macet' di jakarta dan 'jem teruk gila' di Kuala Lumpur atau ติด 'tid' di Bangkok. Ya, khusus bagi para pengguna Subway (bagi yang menggunakan kenderaan, kesesakan adalah kawan baik).

Hidup jadi aman dan lancar jika anda memilih kenderaan awam seperti Subway dan bas setiap masa, ke mana sahaja di Seoul dan daerah sekitarnya. Menurut Prof Lim Kim Hui , perkara ini biasa bagi negara Jepun, Jerman dan Korea. Subway sebenarnya adalah 'senjata' siap-sedia menghadapi peperangan. Apabila berperang, rakyat dapat bergerak dan menyelamatkan diri bawah tanah.




Di Seoul, rumah-rumah tinggi seperti paku-paku yang berselerakan, ada paku yang panjang dan ada yang sangat panjang. Rumah yang dipanggil apartment ini terdapat di kawasan bandar, luar bandar mahupun setinggan (stinggarden). Rupanya, pembinaan rumah-rumah tinggi itu telah siap-sedia dengan perkakasannya. Misalnya, jika anda tinggal di tingkat 30, dan jauh dari lif, tidak perlu risau kerana Korea telah mempersiapkan alatan dan kenderaan untuk memudahkan barang-barang dipindah masuk atau keluar.

Darda' di hati umi


Malam ini saya bertemankan Darda'.

Saya terus menaip dan dia menatap skrin hp, Upin-Ipin, kereta robot dan kartun alphabet. Matanya segar, mata dan semangat menulis saya juga.

Abi dan Dawud tidur lena. Saya rasakan malam ini Allah menganugerahkan kami waktu bersama, berdua.

Teringat akhir-akhir ini, dia kerap mengamuk dan menjerit, nakalnya menjadi-jadi terutama hal mengacau adik bayinya. Saya pula selalu hilang sabar, cepat untuk mencubit.

Tadi, dia mengamuk kuat. Saya cuba kawal diri, tidak mahu seperti selalu. Saya usap kepala dan wajahnya, pujuknya lembut, kemudian suapnya makan. Setelah itu emosinya semakin baik. Dia hanya mahukan perhatian saya yang banyak beralih pada Dawud.

Dalam kekangan waktu dan sempitnya ruang kami sekarang, saya telah meninggalkan luasnya peranan sebagai ibu. Saya masih belajar dan bertatih.

Tetapi, takkan saya lupa bahawa, tiga insan; suami dan anak-anak, merekalah yang paling berkorban untuk saya menggengam ilmu di sini.

Tulisan ini, ada air mata yang bertakung sebelum noktah di sini

Senyuman Dawud


Anak-Anak Prof Dr Bukhari Lubis


Ayla (kanan) dan Afifah

Saya pernah bertandang ke rumah Profesor Dr Bukhari Lubis di Tanjung Malim sekitar pertengahan tahun 2012. Bersama saya, suami, Darda' dan adinda Izzati Rahim dalam perjalanan pulang dari UPSI kerana menyampaikan ceramah penulisan.

Di rumah Prof Bukhari Lubis, kami menghabiskan masa mendengar kisah-kisah hidup beliau, isteri dan anak-anaknya. Ustazah Pilihan Firuz/ Firuz Akhtar anak sulungnya, rakyat Malaysia pertama yang membuat B.A sastera bandingan di Universiti az-Zahra, Iran, Firuz kemudian menyambung MA di US dan sekarang melakukan Phd di SOAS, London. Anak keduanya seorang doktor lulusan Universiti al-Azhar, Mesir, anak ketiganya, Ayla lulusan universiti di Korea Selatan, anak ke keempatnya, Afifah sedang membuat BA di Seoul dalam bidang Sains Makanan, yang kelima, Halim sedang kuliah di Turki dalam bidang Sejarah dan si bongsu akan menduduki SPM tahun ini.

Saya amat kagum dengan Prof Dr Bukhari Lubis memupuk sifat cintakan ilmu pada anak-anaknya. Di rumahnya, hampir tiada tempat (termasuk dapur dan tangga rumah) tiada buku. Kata suami saya, Prof Dr Bukhari Lubis ini 'benar-benar seorang profesor'. Dalam bicara beliau ketika itu ada menyebutkan tentang dua anaknya di Seoul. Saya pula tidak membayangkan akan ke Korea kerana waktu tersebut, tiada lagi agenda belajar di Korea.

Syukur, selepas dua tahun, Allah menemukan saya dengan dua anaknya yang disebut-sebut dahulu di rumah kami di Taereung, Seoul tadi.

Terima kasih Afifah, Ayla dan Ashraf yang bertandang. Makin ramai keluarga di sini, Alhamdulillah.

Abu Darda' dan Pemikirannya


Bila saya judulkan entri ini dengan judul di atas, rasa berdebar pula. Seolah nak menulis makalah tentang seorang tokoh hadith, sahabat rasul SAW. Tetapi saya cuma ingin bercerita tentang anakanda Ahmad Abu Darda', 3 tahun.

Antara paling besar hikmah penghijrahan kami adalah dapat bersama anak-anak setiap masa. Wajah mereka adalah wajah-wajah ahli syurga, tiada dosa.Wajah yang menghilangkan penat saya berjalan kaki, turun naik bas dan subway, memanjat bangunan kelas dan keadaan ekonomi yang terbatas. Namun, apabila saya pandang wajah Darda' dan Dawud, saya bersyukur pada Allah SWT, merekalah harta yang tidak boleh dibandingkan dengan apapun di dunia. Saya rasa kaya dan lapang hanya melihat wajah anak-anak, Alhamdulillah. Syukur ya Allah.

Jika semester lepas, pulang dari kuliah, Darda' menyambut saya dengan senyum manjanya. Sekarang, dia semakin petah. Bercerita tentang itu dan ini, tentang adiknya menangis, adiknya berak dan bangga memberitahu, dia kacau adik tanpa rasa bersalah.

Dalam ruang bilik kami yang seorang teman gelarkan 'Bilik IKEA' (dek kerana ruangnya seperti show room IKEA termasuklah perabot mesra ruang), di sinilah Darda' belajar dan membesar. Gurunya adalah abi dan uminya. Gurunya adalah sikap dan akhlak kami sendiri. Jika saya ralit mengulit buku atau laptop, Darda' pula akan ralit dengan gajetnya. Jika saya hari itu cepat naik angin, Darda' ikut sama meragam. Seorang ibu sememangnya sekolah pertama anak-anak.

Sewaktu lampu dipadamkan, dan kami sekeluarga mahu tidur (hakikatnya saya belum mengantuk tetapi cara ini sahaja menidurkan Darda' untuk Dawud tidur aman), suara nyaring Darda' menyebut, "Hantu...hantu datang dah.." Saya atau suami kemudian membetulkan, "Bukan hantu, kita tak boleh takut hantu, kita mesti takut Allah, Allah Tuhan kita." Lalu dia bertanya, "Allah mana umi?" saya jawab, "Kita tak nampak Allah tapi Allah nampak kita." Darda' diam cuba memahami.

Esoknya, ketika lampu dipadamkan, Darda' menyebutkan, "Allah..Allah datang dah.." Masya Allah! Rupanya dia membayangkan Allah sebagaimana dia bayangkan hantu semalam. Saya dan suami geleng kepala, bagaimana harus diterangkan pada si kecil ini?

Kenakalannya terutama dalam bab menarik perhatian kami makin kreatif. Misalnya, dia sengaja meludahkan biskut yang dimakannya ketika saya sibuk dengan Dawud. Atau menjatuhkan cawan yang diminumnya, atau menarik bantal ketika saya tidurkan adiknya. Tidak mahu marah-marah, saya katakan, "Darda', nanti Allah ambil tangan Darda', nak tak tak ada tangan?" Dia menggeleng bimbang. Atau saya katakan, "Darda', nanti Allah ambik kaki tu.." dia takut sebentar .