Isnin, 5 Januari 2015

Seoul Sejuk, Kami Panas

Di musim sejuk
Aku terus berjalan dengan panas
Dengan wajah tunduk ke bawah
Melihat titik-titik ludah di aspal
Berseli salju dan lendir
Bergumal kahak dan rokok
Dan bau masam
Dari kaca Soju yang basi
Di musim sejuk
Sejukku jadi panas
Melihat sampah dan ludah
Seperti balutan hadiah
Yang diberikan dia kepadaku
Bersama senyum manis
Di musim sejuk
Aku kepanasan
Tiada lagi harga duniawi
Pada sekeping yang bernama ringgit
Dalam timbunan keping-keping won
Seperti sebutir pasir
yang masuk di pinggan nasi
Di musim sejuk negara orang
aku melihat panasnya derita negaraku.
Sejuk-sejuk, panas. Taereung, 6 Januari 2015

Khamis, 1 Januari 2015

1 Januari 2015

Tahun baru datang, bertambah umur, bertambah kematangan dan pengalaman. Seoul mengajar kami banyak perkara dan salah-satunya adalah ;erti rindu. Di Malaysia, hujung 2014 ditandai dengan banyak perkara menyedihkan termasuk banjir besar di seluruh negara. Besar hikmah di sebalik itu apabila konsert-konsert tahun baru dibatalkan, digantikan dengan Majlis Berselawat.

Ya Allah, jadikan tahun ini, umur kami dapat diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Penuhilah baki usi kami dengan keindahan iman, ilmu dan amal seperti cantiknya bunga-bunga di taman ini. Sesungguhnya ya Allah, hambaMu sentiasa kerdil mengenal rahmatMu yang begitu luas.