Rabu, 1 Oktober 2014

Hari-Hariku di Taereung


Bersama Darda' ke universiti

Malam adalah pusaran yang menyenangkan, kerna esok akan terbit hari yang baru dan mendekatkan kami pada pertemuan dengan tanah air (dengan izinNya). Begitulah yang bergayutan di relung fikir setiap mata terjaga dari tidur, ingatan pada mak, abah, wan dan seluruh keluarga di Malaysia.

Hijrah adalah perjuangan; menyesuaikan diri dengan alam dan persekitaran, bersederhana, menahan rindu, mengukuhkan iman dan sabar.

Rutin saya hampir sama setiap hari, cuma sedikit berbeza di hari kuliah: Isnin, Selasa dan Rabu.
Bangun jam 4.50 pagi untuk Subuh, tidur semula bersama Dawud sebelum bangun menyediakan sarapan. Jam 8.30 pagi saya akan mandikan Dawud, suami pula mandikan Darda'. Selepas susukan Dawud, saya ambil kesempatan pam susu badan untuk stok Dawud sepanjang saya ke universiti.

Hari Isnin, jadual luar saya bermula 10.30 pagi di Perpustakaan Modoo, belajar bahasa Korea. Oleh itu, saya perlu berada dalam perut bas selewatnya jam 10 pagi. Kuliah di universiti pula akan bermula jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang. Sebelum pulang ke rumah, biasanya akan solat dahulu di mana-mana bilik kuliah yang kosong. Solat sambil duduk di kerusi mengadap kiblat dari arah tunjuk telefon bimbit.