Selasa, 23 September 2014

Gebar hambaNya


Epal: buah musim sejuk dan panas di Seoul!


Alam bertukar gebar
Dari sejuk ke panas
Dari panas ke sejuk
Tetapi Tuhan Yang Satu
Hanya menjanjikan dua
Syurga untuk yang beriman
Neraka untuk yang ingkar.

   

Pengorbanan

Nyawa Seoul di bawah tanahnya, iaitu pada urat-urat rel Subwaynya!

Dalam tren yang bergerak laju, anak-anak tidur nyenyak. Darda’ terlelap di dalam kereta sorong, Dawud pula di pelukan saya. Kami baru pulang dari menghadiri jamuan hari jadi anak teman senegara. Melihat anak-anak keletihan, saya teringat kembali pada rakan-rakan surirumah yang menemani suami mereka belajar dan bekerja di Seoul. Mereka bercerita tentang menu masakan untuk suami dan anak-anak, ilmu menjahit dan pelbagai aktiviti rumahtangga. Buat ketika ini, saya akui tidak dapat memberi tumpuan yang banyak terhadap aktiviti dalam rumah kecuali yang bersifat rutin. Malah, suami dan anak-anak bersatu  berkorban untuk saya. Saya jadi insaf. “Jadikan pengorbanan ini sebagai penguat untuk menyelesaikan pengajian dengan sempurna,” kata suami di sisi, memahami apa yang terbuku di hati saya saat itu.


Saya memerhatikan orang-orang Korea yang terenap di kerusi panjang, sepanjang gerabak-gerabak yang dapat memuatkan lebih 500 orang dalam satu-satu masa. Wajah mereka tampak letih, sunyi dan tenang. Remaja sibuk memegang gajet, orang dewasa suka merenung dan menyapa, orang yang sangat tua pula lebih suka termenung jauh. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Gerabak tren seolah bukan sahaja membawa jasmani penumpangnya tetapi sarat dengan muatan kisah duka dan bahagia mereka. Tiba di satu-satu destinasi, penumpang turun, naik pula para penumpang baru. Landasan tren yang lurus bekerja tanpa jemu dan pengorbanannya adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada manusia penumpang. Ya, semuanya berkorban.

Ahad, 21 September 2014

Mencari Panas di Luar Seoul



Selepas lawatan pertama di Klinik Wanita dan Kanak-Kanak di Taerung, kira-kira 15 kilometer dari rumah sewa kami, saya terus menetapkan niat untuk pulang bersalin di Malaysia. Cadangan itu saya usulkan kepada suami, dia yang pada mulanya nampak agak berat (kerana baharu sahaja sebulan lebih kami tiba di Seoul) akhirnya bersetuju. “Asalkan tidak risiko pada kandungan,” katanya.

Ianya gara-gara kos bersalin yang tinggi. Di Korea Selatan, hampir tidak ada hospital bersalin percuma (seperti hospital kerajaan di Malaysia). Kebanyakan hospital adalah milik swasta dan universiti. Penduduk Seoul wajib membayar cukai kesihatan untuk membolehkan mereka mendapat rawatan kesihatan yang murah. Sejak kecil, ibubapa membayarkan cukai untuk anak-anak mereka, dan apabila dewasa (setelah bekerja) anak-anak ini akan membayar sendiri cukai kesihatan dan cukai kehidupan yang lain. Dengan cukai, perkhidmatan kesihatan di Korea bertaraf antarabangsa. Yang tidak ‘lima bintangnya’ hanyalah bahasa. Kebanyakan doktor perubatan tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun mereka dapat memahaminya. Untuk tiga kali rawatan di hospital, saya terpaksa membawa teman yang fasih berbahasa Korea untuk menjadi penterjemah.

Yang Kemerah-merahan





Seperti pipi gadis Korea yang kemerah-merahan 
dan bibir merah jambu mereka
yang terletak di wajah putih jernih
Bagaikan bayi yang menguap manja

(Gambar: Dawud jadi mangsa kesukaan umi pada 'pink Korea' yang mengujakan)

Tulisan Hangul Pertamaku



Ops! Ada yang salah di sini....

Korea dan Sikap Siap Sedianya



Pagi Sabtu yang tenang; Dawud tidur nyenyak selepas dimandikan air hangat dan umi siap-sedia berkongsi sesuatu kepada para pembaca Facebooknya.

Agak ajaib, dengan purata lebih 10 juta penduduk di Seoul, kita tidakmengalami apa yang dikatakan 'macet' di jakarta dan 'jem teruk gila' di Kuala Lumpur atau ติด 'tid' di Bangkok. Ya, khusus bagi para pengguna Subway (bagi yang menggunakan kenderaan, kesesakan adalah kawan baik).

Hidup jadi aman dan lancar jika anda memilih kenderaan awam seperti Subway dan bas setiap masa, ke mana sahaja di Seoul dan daerah sekitarnya. Menurut Prof Lim Kim Hui , perkara ini biasa bagi negara Jepun, Jerman dan Korea. Subway sebenarnya adalah 'senjata' siap-sedia menghadapi peperangan. Apabila berperang, rakyat dapat bergerak dan menyelamatkan diri bawah tanah.




Di Seoul, rumah-rumah tinggi seperti paku-paku yang berselerakan, ada paku yang panjang dan ada yang sangat panjang. Rumah yang dipanggil apartment ini terdapat di kawasan bandar, luar bandar mahupun setinggan (stinggarden). Rupanya, pembinaan rumah-rumah tinggi itu telah siap-sedia dengan perkakasannya. Misalnya, jika anda tinggal di tingkat 30, dan jauh dari lif, tidak perlu risau kerana Korea telah mempersiapkan alatan dan kenderaan untuk memudahkan barang-barang dipindah masuk atau keluar.

Darda' di hati umi


Malam ini saya bertemankan Darda'.

Saya terus menaip dan dia menatap skrin hp, Upin-Ipin, kereta robot dan kartun alphabet. Matanya segar, mata dan semangat menulis saya juga.

Abi dan Dawud tidur lena. Saya rasakan malam ini Allah menganugerahkan kami waktu bersama, berdua.

Teringat akhir-akhir ini, dia kerap mengamuk dan menjerit, nakalnya menjadi-jadi terutama hal mengacau adik bayinya. Saya pula selalu hilang sabar, cepat untuk mencubit.

Tadi, dia mengamuk kuat. Saya cuba kawal diri, tidak mahu seperti selalu. Saya usap kepala dan wajahnya, pujuknya lembut, kemudian suapnya makan. Setelah itu emosinya semakin baik. Dia hanya mahukan perhatian saya yang banyak beralih pada Dawud.

Dalam kekangan waktu dan sempitnya ruang kami sekarang, saya telah meninggalkan luasnya peranan sebagai ibu. Saya masih belajar dan bertatih.

Tetapi, takkan saya lupa bahawa, tiga insan; suami dan anak-anak, merekalah yang paling berkorban untuk saya menggengam ilmu di sini.

Tulisan ini, ada air mata yang bertakung sebelum noktah di sini

Senyuman Dawud


Anak-Anak Prof Dr Bukhari Lubis


Ayla (kanan) dan Afifah

Saya pernah bertandang ke rumah Profesor Dr Bukhari Lubis di Tanjung Malim sekitar pertengahan tahun 2012. Bersama saya, suami, Darda' dan adinda Izzati Rahim dalam perjalanan pulang dari UPSI kerana menyampaikan ceramah penulisan.

Di rumah Prof Bukhari Lubis, kami menghabiskan masa mendengar kisah-kisah hidup beliau, isteri dan anak-anaknya. Ustazah Pilihan Firuz/ Firuz Akhtar anak sulungnya, rakyat Malaysia pertama yang membuat B.A sastera bandingan di Universiti az-Zahra, Iran, Firuz kemudian menyambung MA di US dan sekarang melakukan Phd di SOAS, London. Anak keduanya seorang doktor lulusan Universiti al-Azhar, Mesir, anak ketiganya, Ayla lulusan universiti di Korea Selatan, anak ke keempatnya, Afifah sedang membuat BA di Seoul dalam bidang Sains Makanan, yang kelima, Halim sedang kuliah di Turki dalam bidang Sejarah dan si bongsu akan menduduki SPM tahun ini.

Saya amat kagum dengan Prof Dr Bukhari Lubis memupuk sifat cintakan ilmu pada anak-anaknya. Di rumahnya, hampir tiada tempat (termasuk dapur dan tangga rumah) tiada buku. Kata suami saya, Prof Dr Bukhari Lubis ini 'benar-benar seorang profesor'. Dalam bicara beliau ketika itu ada menyebutkan tentang dua anaknya di Seoul. Saya pula tidak membayangkan akan ke Korea kerana waktu tersebut, tiada lagi agenda belajar di Korea.

Syukur, selepas dua tahun, Allah menemukan saya dengan dua anaknya yang disebut-sebut dahulu di rumah kami di Taereung, Seoul tadi.

Terima kasih Afifah, Ayla dan Ashraf yang bertandang. Makin ramai keluarga di sini, Alhamdulillah.

Abu Darda' dan Pemikirannya


Bila saya judulkan entri ini dengan judul di atas, rasa berdebar pula. Seolah nak menulis makalah tentang seorang tokoh hadith, sahabat rasul SAW. Tetapi saya cuma ingin bercerita tentang anakanda Ahmad Abu Darda', 3 tahun.

Antara paling besar hikmah penghijrahan kami adalah dapat bersama anak-anak setiap masa. Wajah mereka adalah wajah-wajah ahli syurga, tiada dosa.Wajah yang menghilangkan penat saya berjalan kaki, turun naik bas dan subway, memanjat bangunan kelas dan keadaan ekonomi yang terbatas. Namun, apabila saya pandang wajah Darda' dan Dawud, saya bersyukur pada Allah SWT, merekalah harta yang tidak boleh dibandingkan dengan apapun di dunia. Saya rasa kaya dan lapang hanya melihat wajah anak-anak, Alhamdulillah. Syukur ya Allah.

Jika semester lepas, pulang dari kuliah, Darda' menyambut saya dengan senyum manjanya. Sekarang, dia semakin petah. Bercerita tentang itu dan ini, tentang adiknya menangis, adiknya berak dan bangga memberitahu, dia kacau adik tanpa rasa bersalah.

Dalam ruang bilik kami yang seorang teman gelarkan 'Bilik IKEA' (dek kerana ruangnya seperti show room IKEA termasuklah perabot mesra ruang), di sinilah Darda' belajar dan membesar. Gurunya adalah abi dan uminya. Gurunya adalah sikap dan akhlak kami sendiri. Jika saya ralit mengulit buku atau laptop, Darda' pula akan ralit dengan gajetnya. Jika saya hari itu cepat naik angin, Darda' ikut sama meragam. Seorang ibu sememangnya sekolah pertama anak-anak.

Sewaktu lampu dipadamkan, dan kami sekeluarga mahu tidur (hakikatnya saya belum mengantuk tetapi cara ini sahaja menidurkan Darda' untuk Dawud tidur aman), suara nyaring Darda' menyebut, "Hantu...hantu datang dah.." Saya atau suami kemudian membetulkan, "Bukan hantu, kita tak boleh takut hantu, kita mesti takut Allah, Allah Tuhan kita." Lalu dia bertanya, "Allah mana umi?" saya jawab, "Kita tak nampak Allah tapi Allah nampak kita." Darda' diam cuba memahami.

Esoknya, ketika lampu dipadamkan, Darda' menyebutkan, "Allah..Allah datang dah.." Masya Allah! Rupanya dia membayangkan Allah sebagaimana dia bayangkan hantu semalam. Saya dan suami geleng kepala, bagaimana harus diterangkan pada si kecil ini?

Kenakalannya terutama dalam bab menarik perhatian kami makin kreatif. Misalnya, dia sengaja meludahkan biskut yang dimakannya ketika saya sibuk dengan Dawud. Atau menjatuhkan cawan yang diminumnya, atau menarik bantal ketika saya tidurkan adiknya. Tidak mahu marah-marah, saya katakan, "Darda', nanti Allah ambil tangan Darda', nak tak tak ada tangan?" Dia menggeleng bimbang. Atau saya katakan, "Darda', nanti Allah ambik kaki tu.." dia takut sebentar .

Khamis, 18 September 2014

Cerita Kelas




Dalam kelas Sosial Change in Southeast Asia, saya bertemu rakan-rakan pelbagai negara Asia antaranya Thailand, Brunei, Singapura dan Korea. Kami diminta untuk memperkenalkan diri dan bidang masing-masing.

Tiba giliran saya, seringkas mungkin saya bercakap; nama, jabatan/major dan tajuk kajian Phd.

Kemudian Profesor Dr Seo Myengkyo berkata, "Kamu tak mahu kongsikan berita gembira kepada mereka?"

Saya menambah yang saya adalah penulis buku, novel dan skrip drama televisyen. Namun, Prof Seo melanjutkan cerita tentang diri saya yang membuatkan dia sangat gembira. "Semester lepas Umi datang ke kelas saya ketika sarat mengandung. Kemudian dia pulang ke Malaysia untuk melahirkan anaknya. Dia mendapat bayi lelaki dan anaknya itu lahir pada hari lahir saya iaitu 23 Jun!"

Kawan-kawan di kelas semua gembira dan ada yang berkata, wow! Saya lihat wajah Prof Seo bersinar-sinar ceria. Saya pun tidak sangka. Ini kerana, semester lepas Prof Seo amat prihatin dengan keadaan saya. Semoga Dawud mendapat sifat kesungguhan dan kerja keras yang ada pada pensyarah saya ini.

Gambar Prof Seo yang masih muda.

Keria Korea


Ini untuk Maknjang Hajar Mardhiah!- Kata Darda' menguli tepungnya.

Tetamu Bawa Rahmat






Alhamdulillah, sejak Dawud ikut umi balik Seoul, rumah kami tidak putus menerima tetamu.

Tetamu datang membawa rahmatNya.

Malam ini, dikunjungi teman tingkatan lima dahulu, Husna Hanim dan suami. Kira-kira 13 tahun lebih kami tidak bertemu. Sempat menjamu mereka gulai udang ubi keledek, ayam goreng kunyit, sayur campur dan sambal hitam ikan bilis Pahang. Kuih keria Korea bikinan suami juga ada.

Semoga kami diberi ruang lagi untuk merai tetamu di perantauan.

Gambar: tetamu yang telah mengunjungi kami baru-baru ini

Tadika Untuk Darda'





Semalam, Mbak Meity Sukmawaty menemani saya mencari pusat asuhan kanak-kanak/ kindergarten/ 유치원 buat Darda' di sekitar tempat tinggal kami. Ada enam pusat asuhan yang kami pergi dan akhirnya kami tahu, perlu menyemak dan mendaftar di internet dahulu sebelum langsung ke sana.

Gambar: salah-satu tadika yang kami masuk benar-benar 'bertaraf lima bintang' terutama kebersihan dan susun aturnya.



Rabu, 17 September 2014

Darda' dan Itik Palsu




Wahai itik, kamu tak sejukkah?" Tanya Darda'.

(Tak boleh tahan ketawa bila Darda' terlihat gambar 'khinzir' di dinding depan sebuah restoran, dia terus cakap, "Ini arnab besar!")

Indahnya Yang Asal










Korea sebelum dijebaki sekularisasi,
Pakaian lelaki perempuannya santun sekali. Malah sesama mereka amat pemalu. Dalam rumah, bilik yang khusus untuk jantina. Orang lelaki jika nak berjumpa dengan perempuan, yang wajib dipakai adalah topi. Dengan isteri, mereka malu dan beradab, di depan musuh, mengaum seperti singa kelaparan.

Bukankah begitu juga budaya Melayu sebelum terjebak sekularisasi?
 

BALIK KG BUKCHON







Semalam kami pulang ke kampung Korea 'palsu' di Bukchon. Palsunya adalah tidak ada makcik-makcik yang memakai Hanbok menyambut kami dengan senyuman khas Janggeum.

BUNGA HATI







Ini adalah musim bunga kami yang pertama di perantauan. Melihat bunga, perasaan rindu akan mekar. Variasi warna dan bentuknya indah di pandangan mata, tetapi yang mengecewakan; selang beberapa minggu (atau hari), kelopaknya gugur. Tinggallah batang-batang usang yang patuh kepada angin dan cuaca. Sesungguhnya, kecantikan bunga adalah kecantikan kosmetik. Yang kekal cantik tetap pada luhur budi dan hati. Begitulah Allah SWT memberi gambaran tentang kecantikan alam dunia yang sementara.

Seoul Shoes!





Life is short, buy the shoes; tagline iklan satu jenama kasut di Seoul.

Ini adalah gambar kasut masyarakat Korea dahulu kala .Kasut ini masih wujud tetapi tuannya sudah mati

Makanan dan Ukhwah





Dalam kehidupan masyarakat Arab, roti adalah simbol makanan yang penting, berbahagi roti bermaksud berbahagi kehidupan.

Begitu pula di Korea, kubis dan sayuran Kimchi adalah asas makanan mereka, berbahagi sayuran tersebut, bermakna sebuah perkenalan erat telah terjalin.

Orang Melayu adalah masyarakat 'beras', berbahagi beras dan nasi, telah berkongsi kehidupan dan kenikmatan.

Kami di Korea, hari minggu menunggu-nunggu untuk berbahagi; bukan sahaja roti, kimchi dan nasi. Tetapi masa lapang untuk dinikmati bersama, melunas rindu pada Tanah air tercinta. Itulah sebenar kehidupan dalam perantauan.

Betulkan Kak Ummu Mu'az Yaie dan Dr Lim Kim Hui ?

Labu Korea






Salah satu sebab orang Korea tak perlu bertenggek pada bangsa lain ialah kerana buah labu mereka sangat besar!

Abi dan Darda'





이 친구 달닥, 이 교사 달닥, 아빠는 달닥. 

고마워요, 아비.


(Ini kawan Darda', ini juga cikgu Darda', dan ini ayah Darda', Terima kasih Abi.

Selasa, 16 September 2014

Mesej Tuhan

MH370, Feri Sewol dan Tuan Karpal Singh.
Satu di awanan
Satu di lautan
Satu (mewakil ribuan) di daratan.

Dan siapakah dapat menyelamatkan kita (di manapun) jika nahas dan maut menjemput?

Janji Allah SWT itu pasti.

Dari Tokngah Usop

Untuk Ummuhani Abu Hassan yg diserang demam rindu!
"Bila berjauhan baru aku tahu dan sedar erti RINDU. Ia menusuk di setiap rongga kalbu. Yang bukan bukan kenangan muncul meniti ke lembah rindu. Ingatan kenangan ada yang tidak ku pinta...tapi ia tetap datang mengasak. Bagaikan derasnya air banjir yang mengasak tebing. Aduh! rindunya aku kepada sanak saudara. Terbayang Wan Dzohir yang berhati hati mengatur langkahnya. Masih sihatkah dia? Seandainya rindu itu dapat ku ketepikan, ingin ke letakkan di sudut yang jauh agar jarang ku temui....Aduhai rindu

Rindu Bonda 2






Jika matamu sedang menatap 'kaca' tulisanku
seluruh rinduku sedang tumpah
Hanya tidak basah dan mengena pipimu..bonda.

Taerung, 11.47 malam (sedang berebut laptop dengan Darda')

Bunga Ukhwah


Bunga-bunga ukhwah, bunga-bunga permusafiran 

Itulah makna musim bunga bagi kami 







Darda' dan Mimpi Balik Kampung






Aku seorang pengembara, di mana sahaja boleh kulabuhkan mimpi.

Siapa Kawan Darda'?




Baru sebentar tadi saya tanya pada Darda', "Siapa nama kawan-kawan Darda'?" (Dengan harapan dia masih ingat lagi nama kawan-kawannya di nurseri dulu).

Tetapi jawab Darda', "Abi dan umi."

Saya tanya lagi, " Siapa nama kawan-kawan Darda'?"

Darda' jawab, "Abi dan Umi!"

hihihi..betullah tu, siapa lagi kalau bukan kami yang bermain dengan dia sekarang, boleh dikatakan 24 jam.

Darda' dan Nasinya




Berkali-kali Darda' tanya saya, "Umi dah masak nasi belum?". Sejak pagi hingga ke tengah hari saya tidak melihat 'periuk dan kawan-kawannya' kerana membuat slide untuk pembentangan kelas esok. Sarapan pagi juga disediakan oleh Chef Ahmad Dhiak Abdul Hashim, tetapi bukan nasi.

Oleh kerana suara Darda' sudah seperti nak menangis mahukan nasi, saya dengan bersemangatnya 'menolak' laptop ke tepi dan beraksi di dapur. Pertama kali di Korea masak kurma ayam dengan santan kotak bercop halal 'Majlis Ulama Indonesia.' Sementara menunggu ayam empuk, Darda' bersuara lagi..

"Dah masak ke belum?"

Aduhai pertama hatiku, memandangmu buat umi bersemangat melakukan apa sahaja.

"Dah masak Darda'!"

Motor OKU

Pagi yang unik; buat pertama kalinya saya melihat serombongan para pemandu motorsikal OKU berkongsi jalan utama dengan para pemandu lain. Berhati-hati ya tokwan semua.


Hikmah Merantau III



Achik sedang mencari ilham di sisi Sungai Han, Seoul

Saya membaca beberapa buku kehidupan para perantau Melayu di kota-kota besar dunia. Buku Dua Dunia karya Anis Sabirin mengubah pandangan saya terhadap alam Allah Yang Esa. Manusia memang dituntut untuk berjalan di muka bumi Allah dan mencari pengajaran untuk menjadi umat yang terbaik. Mafhum daripada gesaan kalam Allah ini terpancar pada kisah-kisah benar para perantau Muslim dan salah seorangnya adalah penulis itu sendiri; Dr Anis Sabirin.

Anak Melayu kelahiran Johor ini merantau ke Amerika Syarikat bersama suami dan anak-anaknya selama 27 tahun. Di negara Uncle Sam yang berpenduduk seramai 294 juta orang ini, Dr Anis membangunkan kecemerlangan diri dan keluarganya. Dia tidak betah lagi berasa selesa tetapi bersaing untuk menyara keluarga dan mengaut ilmu pengetahuan. Berikut penulis menggambarkan keadaan di tanah rantaunya:

Di Amerika Syarikat, penerbitan buku yang berdasarkan kisah benar tumbuh subur. Pengarang-pengarang Amerika Syarikat boleh begitu bertenaga menulis buku-buku yang tebal dan terperinci tentang kes-kes jenayah yang berlaku pada masa kini. Lebih menghairankan mereka boleh melahirkan karya itu dengan begitu cepat selepas sesuatu kejadian itu berlaku. Selain itu, orang bebas menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana universiti. Orientasi orang Amerika begitu taasub terhadap kejayaan kebendaan dan pencapaian pembaharuan serta ilmu pengetahuan. Mereka suka bersaing. Perantau ekonomi dari negara lain turut sama berlumba membina kejayaan di sini.

Daripada seorang wanita biasa, Dr Anis Sabirin berjaya meletakkan dirinya sebagai salah-seorang profesor ekonomi yang dihormati di Los Angeles. Pulang ke tanah air, beliau menjadi usahawan alat-ganti kereta yang berjaya. Inilah penangan hijrah yang membuka ruas fikir bagi seseorang yang berwawasan.

Selepas membaca buku Dua Dunia, saya berkata pada suami, “Marilah kita pergi berhijrah. Itu sahaja caranya untuk kita memiliki kekayaan pengalaman yang memewahkan iman dan akal fikir. Kita tidak boleh duduk selesa lagi di tanah air. Usia kita masih muda. Anak-anak perlu didedahkan dengan dunia luar.” Suami menyambut saranan saya dengan senyuman. “Ya, kita perlu berhijrah. Akan tiba masa itu, berdoalah pada Allah,” kata suami.

Hampir dua tahun berlalu, kata-kata tersebut akan menjadi ingatan supaya menghargai peluang hijrah yang telah Allah SWT berikan. Hanya kepadaMu Ya Allah segala puji dan syukur.

Menanti Magrib
Taereung, Seoul
4/7/14

Hikmah II

Jumaat ini, Dr Seo memberikan saya artikel bertajuk Legal Pluralism, Religion And Multiculturalism untuk dibentangkan dalam kelas; dengan isu utamanya relevankan undang-undang Syariah diamalkan dalam Negara sekular Malaysia? Ya, di depan sahabat-sahabat yang semuanya non Muslim.

Saya berfikir beberapa minggu ini..
Inilah hikmah saya belajar agama sejak kecil hingga ke universti.
Inilah hikmahnya saya terpaksa mengulangi IELTS tempoh hari

Sebenarnya saya datang ke sini bukan untuk mendalami 'Sastera Melayu' tetapi sebaliknya Allah SWT memperlihatkan peluang dakwah yang jauh lebih penting untuk saya laksanakan.

Adik-adikku, jika niat anda belajar untuk mengejar kerjaya, maka muhasabahlah. Diri kita hanya alat untuk menyebarkan Islam.

Doakan diriku.

Bunga dan Rindu




Rindu sedang mekar,

pada semua di tanah air.

Hikmah Perantau

Dua Cinta Yang Allah kurniakan untuk saya di sini


Di perantauan,

Ada nikmat yang Allah beri, dan ada nikmat yang Allah tarik.

Tidak seperti di tanah air, kami berjalan dan berlari mengejar bas dan kereta api, menelan liur melihat agam restoran dan makanan yang terjual kerana perlu memilih yang halal, hidup menanggung rindu pada ibubapa dan keluarga; rindu yang berat, mencatu wang sebaiknya, berbelanja sekadarnya

Ujian bertambah bila hidup jauh dari rumah Allah. Kiri dan kanan missionaris menghulur salam dan 'risalah'. Kami terbatas menghulur salam dakwah, dek bahasa bicara.

Tetapi manis ujian mula mendakap,
Melihat anak berkembang di depan mata, berbakti setiap masa kepada anak dan suami, saling memahami dan berdikari, berjemaah solat tanpa kompromi, rasa cinta dan rindu semakin kuat kepada ibubapa dan keluarga, menghargai apa sahaja yang ada walaupun secubit gula apatah lagi makanan yang tersisa.

Manis ujian bertambah bila hati sentiasa ingat pada Allah, bertawakal padaNya, berfikir bagaimana mahu mengembangkan agamaNya, berfikir tentang pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat menyebarkan Islam ketika manusia mensyirikkanNya; sesuatu yang kami tidak serius di tanah air kerana 'aman'nya melaksanakan Islam.

Di sini..kami mencari-cari peluang sujud di rumahNya yang tidak dapat kami lakukan setiap masa. Peluang itulah menggugurkan air mata!

Yang ditarikNya belum tentu sama yang diberikanNya; lebih besar nikmatnya.

1 April 2014
Catatan menunggu Magrib