Selasa, 16 September 2014

Hikmah Merantau III



Achik sedang mencari ilham di sisi Sungai Han, Seoul

Saya membaca beberapa buku kehidupan para perantau Melayu di kota-kota besar dunia. Buku Dua Dunia karya Anis Sabirin mengubah pandangan saya terhadap alam Allah Yang Esa. Manusia memang dituntut untuk berjalan di muka bumi Allah dan mencari pengajaran untuk menjadi umat yang terbaik. Mafhum daripada gesaan kalam Allah ini terpancar pada kisah-kisah benar para perantau Muslim dan salah seorangnya adalah penulis itu sendiri; Dr Anis Sabirin.

Anak Melayu kelahiran Johor ini merantau ke Amerika Syarikat bersama suami dan anak-anaknya selama 27 tahun. Di negara Uncle Sam yang berpenduduk seramai 294 juta orang ini, Dr Anis membangunkan kecemerlangan diri dan keluarganya. Dia tidak betah lagi berasa selesa tetapi bersaing untuk menyara keluarga dan mengaut ilmu pengetahuan. Berikut penulis menggambarkan keadaan di tanah rantaunya:

Di Amerika Syarikat, penerbitan buku yang berdasarkan kisah benar tumbuh subur. Pengarang-pengarang Amerika Syarikat boleh begitu bertenaga menulis buku-buku yang tebal dan terperinci tentang kes-kes jenayah yang berlaku pada masa kini. Lebih menghairankan mereka boleh melahirkan karya itu dengan begitu cepat selepas sesuatu kejadian itu berlaku. Selain itu, orang bebas menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana universiti. Orientasi orang Amerika begitu taasub terhadap kejayaan kebendaan dan pencapaian pembaharuan serta ilmu pengetahuan. Mereka suka bersaing. Perantau ekonomi dari negara lain turut sama berlumba membina kejayaan di sini.

Daripada seorang wanita biasa, Dr Anis Sabirin berjaya meletakkan dirinya sebagai salah-seorang profesor ekonomi yang dihormati di Los Angeles. Pulang ke tanah air, beliau menjadi usahawan alat-ganti kereta yang berjaya. Inilah penangan hijrah yang membuka ruas fikir bagi seseorang yang berwawasan.

Selepas membaca buku Dua Dunia, saya berkata pada suami, “Marilah kita pergi berhijrah. Itu sahaja caranya untuk kita memiliki kekayaan pengalaman yang memewahkan iman dan akal fikir. Kita tidak boleh duduk selesa lagi di tanah air. Usia kita masih muda. Anak-anak perlu didedahkan dengan dunia luar.” Suami menyambut saranan saya dengan senyuman. “Ya, kita perlu berhijrah. Akan tiba masa itu, berdoalah pada Allah,” kata suami.

Hampir dua tahun berlalu, kata-kata tersebut akan menjadi ingatan supaya menghargai peluang hijrah yang telah Allah SWT berikan. Hanya kepadaMu Ya Allah segala puji dan syukur.

Menanti Magrib
Taereung, Seoul
4/7/14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan