Selasa, 23 September 2014

Gebar hambaNya


Epal: buah musim sejuk dan panas di Seoul!


Alam bertukar gebar
Dari sejuk ke panas
Dari panas ke sejuk
Tetapi Tuhan Yang Satu
Hanya menjanjikan dua
Syurga untuk yang beriman
Neraka untuk yang ingkar.

   

Pengorbanan

Nyawa Seoul di bawah tanahnya, iaitu pada urat-urat rel Subwaynya!

Dalam tren yang bergerak laju, anak-anak tidur nyenyak. Darda’ terlelap di dalam kereta sorong, Dawud pula di pelukan saya. Kami baru pulang dari menghadiri jamuan hari jadi anak teman senegara. Melihat anak-anak keletihan, saya teringat kembali pada rakan-rakan surirumah yang menemani suami mereka belajar dan bekerja di Seoul. Mereka bercerita tentang menu masakan untuk suami dan anak-anak, ilmu menjahit dan pelbagai aktiviti rumahtangga. Buat ketika ini, saya akui tidak dapat memberi tumpuan yang banyak terhadap aktiviti dalam rumah kecuali yang bersifat rutin. Malah, suami dan anak-anak bersatu  berkorban untuk saya. Saya jadi insaf. “Jadikan pengorbanan ini sebagai penguat untuk menyelesaikan pengajian dengan sempurna,” kata suami di sisi, memahami apa yang terbuku di hati saya saat itu.


Saya memerhatikan orang-orang Korea yang terenap di kerusi panjang, sepanjang gerabak-gerabak yang dapat memuatkan lebih 500 orang dalam satu-satu masa. Wajah mereka tampak letih, sunyi dan tenang. Remaja sibuk memegang gajet, orang dewasa suka merenung dan menyapa, orang yang sangat tua pula lebih suka termenung jauh. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Gerabak tren seolah bukan sahaja membawa jasmani penumpangnya tetapi sarat dengan muatan kisah duka dan bahagia mereka. Tiba di satu-satu destinasi, penumpang turun, naik pula para penumpang baru. Landasan tren yang lurus bekerja tanpa jemu dan pengorbanannya adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada manusia penumpang. Ya, semuanya berkorban.