Khamis, 18 Jun 2015

Kelas Korea

Beginilah keadaan kami dalam kelas Bahasa Korea. Guru Korea kami yang baik menggunakan pelbagai cara supaya kami tidak jemu dan terus berusaha keras.
Kelas kami ada individu pelbagai negara dan bangsa ; Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Filipina, China dan Mesir.
Saya sangat sayangkan kelas ini. Guru mengajar secara ikhlas dan percuma. Saya bercakap tiga bahasa untuk berkomunikasi: Inggeris, Melayu dan Korea.
Kadang-kadang kerana asyiknya bercakap Melayu dengan rakan Indonesia, saya tersasul juga bercakap Melayu dengan rakan Bangladesh.
Rakan dari Bangladesh, namanya Shompa. Anak Gabenor Bank Bangladesh, mendapat biasiswa Hufs dalam bidang ekonomi. Dia membuka mata saya bahawa wanita Muslim di mana pun mereka, mereka boleh berjaya dengan usaha keras.
Selepas kelas, biasanya saya solat dulu. Rakan-rakan non muslim sudah faham. Bahkan guru juga akan bertanya dulu sebelum menghulur makanan pada kami yang muslim, halal atau tidak.
Begitulah kita sebagai muslim perlu bergaul dan menunjukkan akhlak yang baik. Semoga Allah Swt tidak memisahkan saya dengan guru dan rakan-rakan kelas ini selama saya di Korea.
Sarangheyo!
Ahlan wasahlan ya Ramadan.

Berpuasa di Korea

Istana Korea yang sunyi

Ini pengalaman pertama kami menikmati Ramadan di Seoul. Dari jam 3.17 pagi sehingga jam 7.59 malam. Cuaca musim panas menggigit terutama di petang hari.
Saya masih ke universiti sehingga minggu depan. Menjinjit laptop dan buku, panjat tangga perpustakaan. Tertelan air liur melihat mahasiswa minum air dan aiskrim. Sabar.
Pulang ke rumah wajiblah menyediakan juadah, tiada makcik menjual kuih-muih dan lauk-pauk. Makan apa sahaja yang ada. Sederhana.
Entah mengapa saya berasa iman sangat mahal. Iman yang menjadikan puasa indah dan bermakna.
Salam Ramadan semua.
(Nota: bila lihat posting makanan di FB wajib sabar atau tutup mata)

Kasih Mereka di Waktu Sahu

Ruang dapur kecil kami di Korea

Saya terkenang-kenang lagi waktu kecil dahulu, ketika kami sekeluarga tinggal dengan nenek dan tokwan di kampung.
Bila tibanya Ramadan, neneklah orang pertama yang bangun waktu sahur. Dia menyediakan nasi goreng yang enak supaya cucu-cucu akan berselera bangun bersahur. Bangun sahur adalah perkara sukar bukan? Tetapi nasi goreng nenek berjaya menarik selimut kami.
Apabila nenek jatuh sakit dan meninggal dunia, emak pula menjadi orang pertama berada di dapur, menyediakan sahur. Jika ada anak perempuan emak yang rajin, emak akan terbantu. Dibantu atau tidak, emak tidak merungut. Kerja nenek dulu emak teruskan juga: menggoreng nasi waktu sahur!
Selepas saya berkeluarga, tiada lagi emak dan nenek tinggal bersama kami. Saya, sebagai isteri bangun sendiri menyediakan sahur. Tetapi uniknya, bukan selalu saya goreng nasi (seperti nenek dan emak, hampir setiap sahur!), hanya panaskan lauk pauk ketika berbuka sahaja, kemudian saya dan suami makan sahur seadanya. Anak-anak masih kecil, jika mereka sudah berpuasa, maka saya perlu bijak seperti nenek dan emak juga: menggoreng nasi sahur.
Saya ingin bertanya, siapakah antara sahabat semua, bukan nenek, bukan emak atau kakak dan isteri yang menyediakan sahur?
Maksud saya orang lelaki yang bangun menyediakan sahur?
Itulah jawapan penting mengapa wanita tidak boleh dipisahkan daripada seorang lelaki.