Khamis, 18 Jun 2015

Kasih Mereka di Waktu Sahu

Ruang dapur kecil kami di Korea

Saya terkenang-kenang lagi waktu kecil dahulu, ketika kami sekeluarga tinggal dengan nenek dan tokwan di kampung.
Bila tibanya Ramadan, neneklah orang pertama yang bangun waktu sahur. Dia menyediakan nasi goreng yang enak supaya cucu-cucu akan berselera bangun bersahur. Bangun sahur adalah perkara sukar bukan? Tetapi nasi goreng nenek berjaya menarik selimut kami.
Apabila nenek jatuh sakit dan meninggal dunia, emak pula menjadi orang pertama berada di dapur, menyediakan sahur. Jika ada anak perempuan emak yang rajin, emak akan terbantu. Dibantu atau tidak, emak tidak merungut. Kerja nenek dulu emak teruskan juga: menggoreng nasi waktu sahur!
Selepas saya berkeluarga, tiada lagi emak dan nenek tinggal bersama kami. Saya, sebagai isteri bangun sendiri menyediakan sahur. Tetapi uniknya, bukan selalu saya goreng nasi (seperti nenek dan emak, hampir setiap sahur!), hanya panaskan lauk pauk ketika berbuka sahaja, kemudian saya dan suami makan sahur seadanya. Anak-anak masih kecil, jika mereka sudah berpuasa, maka saya perlu bijak seperti nenek dan emak juga: menggoreng nasi sahur.
Saya ingin bertanya, siapakah antara sahabat semua, bukan nenek, bukan emak atau kakak dan isteri yang menyediakan sahur?
Maksud saya orang lelaki yang bangun menyediakan sahur?
Itulah jawapan penting mengapa wanita tidak boleh dipisahkan daripada seorang lelaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan