Jumaat, 26 Jun 2015

Profesorku Universitiku


Alhamdulillah, petang tadi tamatlah kuliah saya semester ini. Ada baki satu semester kuliah lagi sebelum boleh menulis tesis secara formal. Sistem Phd 'kuliah, peperiksaan dan tesis' di Korea ada baik buruknya. Baiknya adalah saya dapat menuntut ilmu secara sistematik dengan para profesor. Kuliah menjadikan kami tidak bersantai-santai, setiap minggu saya dan rakan-rakan perlu membentangkan topik yang ditetapkan. Buruknya satu sahaja, saya tidak dapat menumpukan penulisan tesis dengan sempurna.
Kepada tiga profesor saya semester ini, saya berasa amat terbimbing.
Pertama, apabila saya masuk ke kelas Prof Dr Koh Younghun, saya berasa sedang belajar sastera di Universiti Malaya atau Universitas Indonesia. Setiap minggu, kami diminta membentang topik yang diberikan dalam bahasa Melayu atau Indonesia. Prof Koh orangnya amat mesra. Selalu menjadi ayah dalam banyak perkara peribadi saya di Korea. Dia pengkaji sastera Melayu-Indonesia, dan amat memahami orang-orang di dua negara itu.
Kedua, di kelas Prof Dr Park Jaebong, saya seolah sedang belajar politik dan Sosiologi di University of New South Wales, Australia. Caranya membuatkan setiap pelajar 'rasa serius' dan 'takut'. Orangnya gemar senyum dan lemah-lembut. Tetapi apabila memberikan tugas, kami dipaksa menulis artikel ilmiah yang tidak kurang 3000 patah perkataan, dengan bahasa Inggeris yang baik, dengan rujukan minimum 20 artikel antarabangsa. Gara-gara mengerjakan tugasan kelas beliau, saya hampir terkunci dalam perpustakaan. Melihat teruknya tekanan saya ketika menyelesaikan tugasan kelas Prof Park, suami saya bertanya, "Nanti jika umi jadi pensyarah, apakah umi ingin jadi seperti Prof Park Jaebong?" Saya menjawab dengan senyuman yang antara kami sahaja faham.
Ketiga, bersama Prof Dr Lim Kim Hui saya seakan sedang menuntut di University of Hamburg, Jerman. Dia orang yang mementingkan falsafah dan teori. Satu semester ini, dia membimbing penulisan tesis, memberikan senarai buku dan tokoh yang perlu saya kuasai. Dia juga menunjukkan cara bukan A hingga B sahaja tetapi sampai X dan Y. Dia tinggalkan Z untuk saya mandiri sendiri. Baharu sahaja tamat kelas dengannya, saya telah rindu setiap butir yang keluar dari mulutnya. Satu pesanannya akan saya ingat selagi hidup, " Ummi berhati-hati dengan popular. Popular itu bahaya dan boleh membuatkan seseorang itu lalai." Dia pesan begitu kerana tajuk tesis saya 'Identiti Muslim Dalam Novel Popular Islam di Malaysia dan Indonesia; Kajian Perbandingan Terhadap Novel-Novel Terpilih'. (Dia juga bimbang bila saya gemar sangat 'mempopularkan' diri di FB, hihihi).
Buat semua mereka, saya ucapkan terima kasih. Sarangheyo profesor!
.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum :)

    Cuma nak tanya,Puan ambil kos Bahasa Melayu-Indonesia ke di Korea?

    BalasPadam
    Balasan
    1. ya, saya ambil sastre bendigan Melayu-Indonesia

      Padam