Ahad, 15 Mac 2015

Hadiah Murah Yang Mahal


Saya amat terhutang budi kepada beberapa pegawai bank (Woori Bank) di Hankuk University of Foreign Studies. Ini kerana, setiap kali mahu membayar bil dan sewa rumah, saya perlu minta bantuan mereka dari A hingga Z. Gara-gara mesinnya yang begitu 'Korea'. Mereka melayani saya dengan sabar; seolah-olah kali pertama saya minta tolong (setelah hampir setahun minta tolong!)
Dalam hati saya pernah mahu memberikan hadiah kepada pegawai yang baik itu. Tetapi ini tentu tidak manis. Mereka hanya menjalankan tugas sepenuh hati, saya pula terhutang budi.
Jadi, untuk pertolongan bulan ini, dengan tebal mukanya, saya mengadap pegawai bank lagi; seolah-olah kali pertama minta bantuan. Dengan sabar dan yakin dirinya, dia membantu saya sambil mulutnya menerangkan dalam bahasa Inggeris fasih. Saya yang amat terhutang budi (dan malu juga) mendapat idea untuk membalas budi si pegawai. Sebelum berlalu, saya berkata padanya, "Oh, bahasa Inggeris anda sangat bagus!"
Ajaibnya, saya melihat wajah pegawai bank itu bersinar bahagia, seperti bunga Sakura yang sedang kembang. Apakah selepas ini dia akan sebahagia ini membantu saya lagi? (tentunya bulan-bulan mendatang).
Tadi juga saya makan di restoran ikan bakar depan universiti. Kali ketiga saya makan di situ. Ajumma tuan restoran sudah kenal muka saya, sudah tahu apa yang tidak boleh saya makan. Sebagai membalas kebaikannya saya pun pujinya dalam bahasa Korea, "Sungguh sedap!" Senyum lebar dia.
Begitulah, puji pun satu hadiah yang lumayan membahagiakan orang lain.
Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, " Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu." (Riwayat Tabrani)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan