Ahad, 15 Mac 2015

Cerita Darda' Balik Korea


Alkisahnya, jam 4 pagi kami perlu bertolak ke KLIA2. Darda' mengamuk tak mahu mandi dan tukar baju, lalu saya bercadang mandikannya di lapangan terbang. Darda' terlalu mengantuk kerana lewat malam main dengan sepupunya Amir Hanifah Hassan.
Selepas check in, kami masuk ke kawasan menunggu. Saya dan suami solat Subuh dahulu. Saya mandikan Dawud, tetapi Darda' mengamuk lagi tak mahu mandi dan tukar baju. Oleh kerana masa sudah suntuk dan mahu menjaga emosinya, kami biarkan saja Darda' dengan 'baju Melayu dan seluar tidurnya'.
Dalam kapal terbang, dua jam pertama Darda' tidur puas, tiga jam berikutnya dia jadi 'buas'. Mulanya dia menangis minta biskut Chipsmore dan Oreo yang ada dalam buku makanan pesawat. Saya buat muka sedih minta pramugari yang sedang sibuk untuk jual pada kami. Malangnya, biskut tiada. Pelbagai aktiviti saya dan suami buat. Saya ajaknya baca majalah Air Asia dan cari gambar kereta, suami pula guna kertas 'alas muntah' buat sampan dan jet untuknya. Lepas Dawud bangun tidur, perhatian saya pada Darda' kurang. Suami yang sangat penat, tertidur. Darda' main sendiri, masuk bawah kerusi kami, menjerit, menyanyi hingga penumpang depan kami merungut-rungut marah. Dan bila bosannya sudah sampai kemuncak, Darda' berlari-lari dari tempat duduk ke tempat pramugari di belakang. Dia selak langsir tempat pramugari sedang rehat. Aduhai...macam kapal terbang tu abi punya!

Penerbangan tiba awal setengah jam, Alhamdulillah nikmat yang besar pada kami dengan karenah dua anak kecil. Kami antara paling akhir keluar kapal terbang. Pramugari usap kepala Darda' yang tak 'mandi' itu.
Urusan pertama yang saya buat adalah mandikan Darda'. Bilik air untuk kanak-kanak memang terbaik di lapangan terbang (dan di mana-mana di Korea). Lepas mandikannya, saya tanya Darda'.
"Best tak naik kapal terbang?"
"Best. Kapal terbang tak jatuh," jawabnya. Saya menahan ketawa. Jawapan itu betul tapi cara Darda' menjawab bikin saya 'sakit perut'.
Kami pulang ke rumah di Taereung dengan bas 6100. Dari balik tingkap bas, Darda' melayan perasaannya. Dia diam sahaja, tidak berkata apa-apa. Merenung langit Korea Selatan yang mulai senja. Barangkali dalam fikirannya ada wajah Sufi, Amir, Tokwan, Tok Uwan Pahang, Kak Nurin, Makcik, Maknjang, Pakndak yang selalu melayannya di Malaysia. Akhirnya dia tertidur sendiri.
Darda', terima kasih sudi menjadi peneman umi di perantauan. Esok Darda' akan menjalani orentasi tadikanya, mohon doakannya ya kawan-kawan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan