Selasa, 23 September 2014

Gebar hambaNya


Epal: buah musim sejuk dan panas di Seoul!


Alam bertukar gebar
Dari sejuk ke panas
Dari panas ke sejuk
Tetapi Tuhan Yang Satu
Hanya menjanjikan dua
Syurga untuk yang beriman
Neraka untuk yang ingkar.

   

Pengorbanan

Nyawa Seoul di bawah tanahnya, iaitu pada urat-urat rel Subwaynya!

Dalam tren yang bergerak laju, anak-anak tidur nyenyak. Darda’ terlelap di dalam kereta sorong, Dawud pula di pelukan saya. Kami baru pulang dari menghadiri jamuan hari jadi anak teman senegara. Melihat anak-anak keletihan, saya teringat kembali pada rakan-rakan surirumah yang menemani suami mereka belajar dan bekerja di Seoul. Mereka bercerita tentang menu masakan untuk suami dan anak-anak, ilmu menjahit dan pelbagai aktiviti rumahtangga. Buat ketika ini, saya akui tidak dapat memberi tumpuan yang banyak terhadap aktiviti dalam rumah kecuali yang bersifat rutin. Malah, suami dan anak-anak bersatu  berkorban untuk saya. Saya jadi insaf. “Jadikan pengorbanan ini sebagai penguat untuk menyelesaikan pengajian dengan sempurna,” kata suami di sisi, memahami apa yang terbuku di hati saya saat itu.


Saya memerhatikan orang-orang Korea yang terenap di kerusi panjang, sepanjang gerabak-gerabak yang dapat memuatkan lebih 500 orang dalam satu-satu masa. Wajah mereka tampak letih, sunyi dan tenang. Remaja sibuk memegang gajet, orang dewasa suka merenung dan menyapa, orang yang sangat tua pula lebih suka termenung jauh. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Gerabak tren seolah bukan sahaja membawa jasmani penumpangnya tetapi sarat dengan muatan kisah duka dan bahagia mereka. Tiba di satu-satu destinasi, penumpang turun, naik pula para penumpang baru. Landasan tren yang lurus bekerja tanpa jemu dan pengorbanannya adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada manusia penumpang. Ya, semuanya berkorban.

Ahad, 21 September 2014

Mencari Panas di Luar Seoul



Selepas lawatan pertama di Klinik Wanita dan Kanak-Kanak di Taerung, kira-kira 15 kilometer dari rumah sewa kami, saya terus menetapkan niat untuk pulang bersalin di Malaysia. Cadangan itu saya usulkan kepada suami, dia yang pada mulanya nampak agak berat (kerana baharu sahaja sebulan lebih kami tiba di Seoul) akhirnya bersetuju. “Asalkan tidak risiko pada kandungan,” katanya.

Ianya gara-gara kos bersalin yang tinggi. Di Korea Selatan, hampir tidak ada hospital bersalin percuma (seperti hospital kerajaan di Malaysia). Kebanyakan hospital adalah milik swasta dan universiti. Penduduk Seoul wajib membayar cukai kesihatan untuk membolehkan mereka mendapat rawatan kesihatan yang murah. Sejak kecil, ibubapa membayarkan cukai untuk anak-anak mereka, dan apabila dewasa (setelah bekerja) anak-anak ini akan membayar sendiri cukai kesihatan dan cukai kehidupan yang lain. Dengan cukai, perkhidmatan kesihatan di Korea bertaraf antarabangsa. Yang tidak ‘lima bintangnya’ hanyalah bahasa. Kebanyakan doktor perubatan tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun mereka dapat memahaminya. Untuk tiga kali rawatan di hospital, saya terpaksa membawa teman yang fasih berbahasa Korea untuk menjadi penterjemah.

Yang Kemerah-merahan





Seperti pipi gadis Korea yang kemerah-merahan 
dan bibir merah jambu mereka
yang terletak di wajah putih jernih
Bagaikan bayi yang menguap manja

(Gambar: Dawud jadi mangsa kesukaan umi pada 'pink Korea' yang mengujakan)

Tulisan Hangul Pertamaku



Ops! Ada yang salah di sini....

Korea dan Sikap Siap Sedianya



Pagi Sabtu yang tenang; Dawud tidur nyenyak selepas dimandikan air hangat dan umi siap-sedia berkongsi sesuatu kepada para pembaca Facebooknya.

Agak ajaib, dengan purata lebih 10 juta penduduk di Seoul, kita tidakmengalami apa yang dikatakan 'macet' di jakarta dan 'jem teruk gila' di Kuala Lumpur atau ติด 'tid' di Bangkok. Ya, khusus bagi para pengguna Subway (bagi yang menggunakan kenderaan, kesesakan adalah kawan baik).

Hidup jadi aman dan lancar jika anda memilih kenderaan awam seperti Subway dan bas setiap masa, ke mana sahaja di Seoul dan daerah sekitarnya. Menurut Prof Lim Kim Hui , perkara ini biasa bagi negara Jepun, Jerman dan Korea. Subway sebenarnya adalah 'senjata' siap-sedia menghadapi peperangan. Apabila berperang, rakyat dapat bergerak dan menyelamatkan diri bawah tanah.




Di Seoul, rumah-rumah tinggi seperti paku-paku yang berselerakan, ada paku yang panjang dan ada yang sangat panjang. Rumah yang dipanggil apartment ini terdapat di kawasan bandar, luar bandar mahupun setinggan (stinggarden). Rupanya, pembinaan rumah-rumah tinggi itu telah siap-sedia dengan perkakasannya. Misalnya, jika anda tinggal di tingkat 30, dan jauh dari lif, tidak perlu risau kerana Korea telah mempersiapkan alatan dan kenderaan untuk memudahkan barang-barang dipindah masuk atau keluar.

Darda' di hati umi


Malam ini saya bertemankan Darda'.

Saya terus menaip dan dia menatap skrin hp, Upin-Ipin, kereta robot dan kartun alphabet. Matanya segar, mata dan semangat menulis saya juga.

Abi dan Dawud tidur lena. Saya rasakan malam ini Allah menganugerahkan kami waktu bersama, berdua.

Teringat akhir-akhir ini, dia kerap mengamuk dan menjerit, nakalnya menjadi-jadi terutama hal mengacau adik bayinya. Saya pula selalu hilang sabar, cepat untuk mencubit.

Tadi, dia mengamuk kuat. Saya cuba kawal diri, tidak mahu seperti selalu. Saya usap kepala dan wajahnya, pujuknya lembut, kemudian suapnya makan. Setelah itu emosinya semakin baik. Dia hanya mahukan perhatian saya yang banyak beralih pada Dawud.

Dalam kekangan waktu dan sempitnya ruang kami sekarang, saya telah meninggalkan luasnya peranan sebagai ibu. Saya masih belajar dan bertatih.

Tetapi, takkan saya lupa bahawa, tiga insan; suami dan anak-anak, merekalah yang paling berkorban untuk saya menggengam ilmu di sini.

Tulisan ini, ada air mata yang bertakung sebelum noktah di sini