Ahad, 21 September 2014

Mencari Panas di Luar Seoul



Selepas lawatan pertama di Klinik Wanita dan Kanak-Kanak di Taerung, kira-kira 15 kilometer dari rumah sewa kami, saya terus menetapkan niat untuk pulang bersalin di Malaysia. Cadangan itu saya usulkan kepada suami, dia yang pada mulanya nampak agak berat (kerana baharu sahaja sebulan lebih kami tiba di Seoul) akhirnya bersetuju. “Asalkan tidak risiko pada kandungan,” katanya.

Ianya gara-gara kos bersalin yang tinggi. Di Korea Selatan, hampir tidak ada hospital bersalin percuma (seperti hospital kerajaan di Malaysia). Kebanyakan hospital adalah milik swasta dan universiti. Penduduk Seoul wajib membayar cukai kesihatan untuk membolehkan mereka mendapat rawatan kesihatan yang murah. Sejak kecil, ibubapa membayarkan cukai untuk anak-anak mereka, dan apabila dewasa (setelah bekerja) anak-anak ini akan membayar sendiri cukai kesihatan dan cukai kehidupan yang lain. Dengan cukai, perkhidmatan kesihatan di Korea bertaraf antarabangsa. Yang tidak ‘lima bintangnya’ hanyalah bahasa. Kebanyakan doktor perubatan tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun mereka dapat memahaminya. Untuk tiga kali rawatan di hospital, saya terpaksa membawa teman yang fasih berbahasa Korea untuk menjadi penterjemah.



700 Ribu Graduan Setiap Tahun

Cahaya matahari selalu dirindukan pada musim sejuk. Akhir April lalu, ketika saya keluar dari bilik kuliah, hati terhibur melihat para mahasiswa, kelompok lelaki dan wanita duduk di padang universiti. Ada juga yang ‘bersidai’ di tangga bangunan dan berbaring di rumput. Semuanya atas tujuan menikmati hangatnya matahari. Para mahasiswa Korea, mereka menghabiskan 12 tahun pembelajaran di peringkat tadika dan sekolah rendah. Seperti kita di Malaysia, usia 18 tahun, mula memasuki universiti. Tetapi yang dibanggakan Korea Selatan adalah perkembangan pendidikan tingginya yang merentas laju, setanding dengan Amerika Syarikat. Pada 1960, jumlah universitinya hanya 52 buah, dan kini, selepas 50 tahun, Korea Selatan memiliki 345 buah universiti yang diperkirakan setiap tahun, 71 peratus pelajar sekolah tingginya akan bergelar mahasiswa pelbagai bidang (kira-kira 3 juta orang). Jadi, setiap 10 ribu orang, 615 orang adalah mahasiswa universiti.

Bulan Februari adalah bulan ‘bunga-bunga gubahan’ di universiti di seluruh Korea. Ketika itu, keluarga dan rakan taulan akan menghadiahkan bunga kepada para graduan yang berjaya menyelesaikan pengajian. Jumlah yang bergelar graduan adalah 600 sehingga 700 ribu setiap tahun. Seperti juga musim bunga yang pendek setiap tahun, para graduan yang tampan, yang jelita dalam pakaian cendiakawan, yang dijulang rakan taulan kerana segulung ijazah, akhirnya berhadapan dengan realiti kemodenan; perjuangan mendapatkan pekerjaan pun bermula. Tuntutan kos hidup yang tinggi di Seoul tidak memungkinkan mereka berenak-enak tanpa sebarang pekerjaan hatta menjadi pembancuh kopi di kafeteria. Persaingan kerja adalah perkara yang menggerunkan bagi graduan termasuk ibubapa mereka.

Manakan Sama Musim Panas di Malaysia!

Para pensyarah saya memberikan sokongan yang baik. Jumlah wanita mengandung di Korea yang menyusut berbanding golongan tua yang berumur panjang menjadikan Korea amat teruja dengan bayi dan kanak-kanak. Saya pun mendapat tempiasnya. “Kamu boleh bercuti sebulan lebih awal dan fokuskan kepada kelahiran bayi,” kata Dr Seo Mnyengko, juga Prof Dr Koh Young Hun dan Prof Kim Wok Dong. Semua mereka mengizinkan saya pulang ke Malaysia; menikmati musim panas di luar Seoul!

Persiapan pulang ke Malaysia setelah hampir tiga bulan menjadi warga Seoul, agak mendebarkan. Seolah-olah kami sekeluarga telah menetap di sini setahun. Setiap hari menyimpan rindu terutama kepada ibubapa dan tokwan Haji Tahir, rindu yang bertakung kemudiannya telah menjadi kolam dalam hati. Walaupun dalam waktu yang singkat, rindu sudah mahu keluar daripada empangannya. Saya perlu mendapatkan keizinan doktor untuk terbang di awan. Bersama surat jaminan doktor, kami tiga beranak menaiki bas menuju lapangan terbang antarabangsa di Incheon. Dalam hati berdoa agar perjalanan ‘balik kampung’ terhindar daripada sebarang musibah. Dalam kepala juga sarat membawa kerja kursus dan bahan-bahan tesis yang bakal dicerna; semuanya perlu diselesaikan sebelum anak kedua lahir ke dunia

Perjalanan pulang diiringi cuaca lebih 20 celcius, cuaca yang hangat dan kami rindukan di Seoul. Selama 6 jam di udara, gelap malam dan kawanan awan yang besar menjadi teman pesawat. Dua kali pesawat teroleng ke bawah tanpa udara, hingga anak kapal ada yang terjatuh. Saya memeluk anakanda sulung, suami membaca doa. Benar-benar meresahkan. Saat tayar pesawat sudah mendarat di tanah air, hati memanjat syukur pada Allah Yang Maha Esa, Tuhan yang memberikan kami peluang untuk merasa nikmat dan ujian berhijrah.
Cuaca di Malaysia seakan membalas rindu kami pada teriknya panas. Sesungguhnya adalah panas yang mengujikan. Tetapi melihat wajah bonda dan bonda mentua, panas bertukar menjadi salju. Awal September kami berencana pulang ke Seoul, dan sehingga tiba saatnya, kami mensyukuri nikmat kebersamaan bersama ibubapa dan keluarga di tanah air. Khabarnya, di Seoul cuaca hangat akan semakin bertambah 30 ke 40 celcius menjelang Julai, bertepatan kedatangan Ramadan al-Mubarak.

Pada wajah para penghijrah
Senyum menguntum rindu
Tangis beresak rindu
Dan tiba saatnya pertemuan
Rindu adalah satu kepastian.
Keterangan gambar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan