Ahad, 21 September 2014

Darda' di hati umi


Malam ini saya bertemankan Darda'.

Saya terus menaip dan dia menatap skrin hp, Upin-Ipin, kereta robot dan kartun alphabet. Matanya segar, mata dan semangat menulis saya juga.

Abi dan Dawud tidur lena. Saya rasakan malam ini Allah menganugerahkan kami waktu bersama, berdua.

Teringat akhir-akhir ini, dia kerap mengamuk dan menjerit, nakalnya menjadi-jadi terutama hal mengacau adik bayinya. Saya pula selalu hilang sabar, cepat untuk mencubit.

Tadi, dia mengamuk kuat. Saya cuba kawal diri, tidak mahu seperti selalu. Saya usap kepala dan wajahnya, pujuknya lembut, kemudian suapnya makan. Setelah itu emosinya semakin baik. Dia hanya mahukan perhatian saya yang banyak beralih pada Dawud.

Dalam kekangan waktu dan sempitnya ruang kami sekarang, saya telah meninggalkan luasnya peranan sebagai ibu. Saya masih belajar dan bertatih.

Tetapi, takkan saya lupa bahawa, tiga insan; suami dan anak-anak, merekalah yang paling berkorban untuk saya menggengam ilmu di sini.

Tulisan ini, ada air mata yang bertakung sebelum noktah di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan