Sabtu, 25 Oktober 2014

Bunga Untuk Mak

Hati dengan getaran rindu semacam tidak berpisah. Saya benar rindukan Almarhumah Tok Piah. Rindu sungguh-sungguh. Detik terakhir bersamanya, tidak semanis madu. Saya terhukum oleh tindak-tanduk saya sendiri; kali terakhir Arwah Tok ajak saya makan bersama, saya tolak (waktu itu saya sedang mabuk mengandungkan Dawud) Masya Allah! Itulah kali terakhir tok memesrai saya kerana beberapa jam selepas itu, Tok diserang strok, koma dan esoknya Allah SWT menjemputnya. Ya Allah, ampunilah dosaku, tempatkanlah arwah tok di kalangan orang yang dicintaiMu.

Wahai bunga, kukhabarkan padamu, aku juga merindui bonda yang melahirkanku, Bonda Hamidah Haji Tahir.

Gambar di bawah : Bunga-Bunga di Taman Guri yang sempat di'curi' lensa kamera

Menikmati Korea di Taman Guri

Rabu,  22 Oktober 2013 tentu tidak saya lupakan. Pertama kali bersama guru-guru Bahasa Korea dan teman pelbagai negara Asia berkelah di Flower Festival di Guri, Seoul. Saya bawa anakanda Darda' bersama, malah rakan lain termasuk teman senegara, Kak Zah membawa anak-anak. Saya dan dua ibu lain dimuatkan dalam van kuning yang comel. Van ini biasanya membawa anak-anak tadika di Seoul. Yang memandunya adalah guru wanita. Ketika van merangkak menyaingi kenderaan lain di jalan raya, Kak Zah sempat berkata pada saya, "Boleh tahan cingu perempuan ini bawa van!"

Ahah! Nak kenal lelaki Korea yang tangkas dan sihat, kenallah para wanita mereka dulu.

Entah mengapa, saya ralit pula dengan gambar-gambar yang ditangkap di Taman Guri, cantiknya Subhanallah! Di sini saya kongsikan kerana pada setiap gambar menyatakan emosi kami semua pada hari itu.

Betapa bahagianya Darda' dapat berlari.