Nyawa Seoul di bawah tanahnya, iaitu pada urat-urat rel Subwaynya!
Dalam
tren yang bergerak laju, anak-anak tidur nyenyak. Darda’ terlelap di dalam
kereta sorong, Dawud pula di pelukan saya. Kami baru pulang dari menghadiri
jamuan hari jadi anak teman senegara. Melihat anak-anak keletihan, saya
teringat kembali pada rakan-rakan surirumah yang menemani suami mereka belajar
dan bekerja di Seoul. Mereka bercerita tentang menu masakan untuk suami dan
anak-anak, ilmu menjahit dan pelbagai aktiviti rumahtangga. Buat ketika ini,
saya akui tidak dapat memberi tumpuan yang banyak terhadap aktiviti dalam rumah
kecuali yang bersifat rutin. Malah, suami dan anak-anak bersatu berkorban untuk saya. Saya jadi insaf. “Jadikan
pengorbanan ini sebagai penguat untuk menyelesaikan pengajian dengan sempurna,”
kata suami di sisi, memahami apa yang terbuku di hati saya saat itu.
Saya
memerhatikan orang-orang Korea yang terenap di kerusi panjang, sepanjang
gerabak-gerabak yang dapat memuatkan lebih 500 orang dalam satu-satu masa. Wajah
mereka tampak letih, sunyi dan tenang. Remaja sibuk memegang gajet, orang
dewasa suka merenung dan menyapa, orang yang sangat tua pula lebih suka
termenung jauh. Masing-masing mempunyai kisah tersendiri. Gerabak tren seolah
bukan sahaja membawa jasmani penumpangnya tetapi sarat dengan muatan kisah duka
dan bahagia mereka. Tiba di satu-satu destinasi, penumpang turun, naik pula
para penumpang baru. Landasan tren yang lurus bekerja tanpa jemu dan
pengorbanannya adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada manusia penumpang.
Ya, semuanya berkorban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan