Khamis, 1 Januari 2015

1 Januari 2015

Tahun baru datang, bertambah umur, bertambah kematangan dan pengalaman. Seoul mengajar kami banyak perkara dan salah-satunya adalah ;erti rindu. Di Malaysia, hujung 2014 ditandai dengan banyak perkara menyedihkan termasuk banjir besar di seluruh negara. Besar hikmah di sebalik itu apabila konsert-konsert tahun baru dibatalkan, digantikan dengan Majlis Berselawat.

Ya Allah, jadikan tahun ini, umur kami dapat diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Penuhilah baki usi kami dengan keindahan iman, ilmu dan amal seperti cantiknya bunga-bunga di taman ini. Sesungguhnya ya Allah, hambaMu sentiasa kerdil mengenal rahmatMu yang begitu luas.

Selasa, 2 Disember 2014

Salju Kami

Salji telah turun di Seoul pada 1 Disember lalu. Kami sekeluarga rasa teruja sehingga sanggup membuka jendela walau sejuknya luar biasa. Dari tingkat enam rumah kami, serbuk-serbuk halus berwarna putih jatuh dari langit, hinggap di bumbung, ranting pohonan, di jalan juga atas kenderaan. Sungguh ceria pagi itu, membenamkan rasa sejuk yang melampau dari sebelumnya.


Belajar dari kehidupan Allahyarham Prof Dr Umar Kayam

Minggu ini, saya perlu membentangkan secara ringkas tentang Umar Kayam; sasterawam sosiologis dari Indonesia. Buku Umar Kayam Luar Dalam saya baca untuk mencari sisi-sisi yang boleh saya olah di kelas nanti. Buku ini memuatkan tulisan orang-orang terdekat Umar Kayam tentang beliau. Umar Kayam meninggal dunia pada Mac 2002. Satu tulisan yang dikarang Yus Kayam; isteri Umar Kayam amat dekat dengan saya.

Cerita Ibu Yus Kayam, pada 1961, dia mengikut suaminya, Umar Kayam ke New York untuk menyambung master. Mereka menyewa sebuah bilik kecil yang tandasnya berkongsi dengan jiran sebelah. Malam-malam, anak kecil mereka selalu menangis dan mendatangkan kemarahan jiran. Sehingga akhirnya, tuan rumah tidak lagi mengizinkan mereka tinggal di situ. Mereka berpindah-randah selepas itu. Akhirnya selama lebih empat tahun, Umar Kayam berjaya menyelesaikan master dan Phdnya di Amerika Syarikat.

Sabtu, 22 November 2014

November di Seoul

Bersama Prof Seo, Prof Koh, Prof Soh. Prof Park Jae Bong, Prof Teng Soe dan Prof Lim 

Satu peristiwa yang akan saya kenang, selalu menjadi iktibar adalah cerita menangis dalam kelas. Saya tidak menyangka, kemudahan yang Prof Lee San Bin, pensyarah kuliah Literature and Others Art berikan kepada saya, rupanya mendatangkan rasa tidak senang kepada beberapa rakan sekelas.

Petang itu, terhambur kata-kata mereka, di depan saya, di depan profesor dan pelajar lain bahawa mereka pelik saya mengikuti kelas itu tanpa tahu bahasa Korea. Mereka memaksa saya 'tidak lagi' mengambil subjek tersebut jika tidak tahu bahasa Korea. Suara teriak-teriakan menyebabkan saya terpaku dengan aksi wanita Korea yang 'sebenar'; garangnya, terus-terangnya, hati keringnya. Mungkin tidak semua begitu, tetapi hari itu saya belajar. 

Sabtu, 25 Oktober 2014

Bunga Untuk Mak

Hati dengan getaran rindu semacam tidak berpisah. Saya benar rindukan Almarhumah Tok Piah. Rindu sungguh-sungguh. Detik terakhir bersamanya, tidak semanis madu. Saya terhukum oleh tindak-tanduk saya sendiri; kali terakhir Arwah Tok ajak saya makan bersama, saya tolak (waktu itu saya sedang mabuk mengandungkan Dawud) Masya Allah! Itulah kali terakhir tok memesrai saya kerana beberapa jam selepas itu, Tok diserang strok, koma dan esoknya Allah SWT menjemputnya. Ya Allah, ampunilah dosaku, tempatkanlah arwah tok di kalangan orang yang dicintaiMu.

Wahai bunga, kukhabarkan padamu, aku juga merindui bonda yang melahirkanku, Bonda Hamidah Haji Tahir.

Gambar di bawah : Bunga-Bunga di Taman Guri yang sempat di'curi' lensa kamera

Menikmati Korea di Taman Guri

Rabu,  22 Oktober 2013 tentu tidak saya lupakan. Pertama kali bersama guru-guru Bahasa Korea dan teman pelbagai negara Asia berkelah di Flower Festival di Guri, Seoul. Saya bawa anakanda Darda' bersama, malah rakan lain termasuk teman senegara, Kak Zah membawa anak-anak. Saya dan dua ibu lain dimuatkan dalam van kuning yang comel. Van ini biasanya membawa anak-anak tadika di Seoul. Yang memandunya adalah guru wanita. Ketika van merangkak menyaingi kenderaan lain di jalan raya, Kak Zah sempat berkata pada saya, "Boleh tahan cingu perempuan ini bawa van!"

Ahah! Nak kenal lelaki Korea yang tangkas dan sihat, kenallah para wanita mereka dulu.

Entah mengapa, saya ralit pula dengan gambar-gambar yang ditangkap di Taman Guri, cantiknya Subhanallah! Di sini saya kongsikan kerana pada setiap gambar menyatakan emosi kami semua pada hari itu.

Betapa bahagianya Darda' dapat berlari.



Ahad, 19 Oktober 2014

Membahagiakan

Di rantau, hiburan kami tidaklah semewah 'rasa' seperti di tanah air. Bangun pagi dengan semangat menyelesaikan tanggungjawab menulis : artikel ilmiah, artikel majalah, buku biografi dan skrip drama. (Setiap hari cuba menulis sedikit yang mampu dan sebanyak yang diimpikan!), jika tidak menulis saya mahu membaca dengan serius. Pagi-pagi saya adalah niat untuk menjadikannya lebih baik daripada semalam. Pagi saya juga diiringi doa agar suami dan anak-anak sihat. Anak-anak tidak meragam dan suami akan senyum panjang menjaga mereka, tanpa rasa tertekan.

Begitulah sahaja rasa hiburan dalam diri di Seoul ini. Hari minggu, jika berkesempatan menziarahi kawan-kawan senegara, sudah cukup nikmat, Alhamdulillah.

Di Kuala Lumpur, hiburan sangat mewah, bintangnya berkerlipan selalu. Saya suka mengatur acara hari minggu dengan pulang ke kampung, ziarah kawan-kawan, ke pusat-membeli belah, kedai buku atau bersantai di rumah dengan menjemput adinda atau rakan-rakan. Saya tidak suka menyendiri. Menghiburkan hati dengan gamatnya suara-suara di persekitaran.

Sabtu, 11 Oktober 2014

Restoran Bawah Rumah

Restoran muka Dwaeji *pig* memang kami tak dekati

"Kak Ummu..kedai ini kita boleh masuk dan makan!" kata Ayla Bohari suatu hari di Hwrangdae. Tangannya menunjukkan kedai bubur Bonjuk dan kedai Pizza. Saya jadi gembira. Sebelum ini dalam fikiran saya dan suami, semua kedai makan di sekitar rumah tidak boleh masuk. Kami berasa was-was untuk mencuba. Jujur saya katakan, saya teringin amat mencuba air tangan orang Korea. Dan pagi itu saya belanja Ayla makan bubur di Bonjuk. Luar biasa pedas rupanya! *sehingga tak habis*

Tukang masak sedang bersiap-siap


Orang Korea yang terkenal dengan budaya 'perkawanan/ persahabatan' menjadikan restoran sebagai rumah hinggap mereka.