Di rantau, hiburan kami tidaklah semewah 'rasa' seperti di tanah air. Bangun pagi dengan semangat menyelesaikan tanggungjawab menulis : artikel ilmiah, artikel majalah, buku biografi dan skrip drama. (Setiap hari cuba menulis sedikit yang mampu dan sebanyak yang diimpikan!), jika tidak menulis saya mahu membaca dengan serius. Pagi-pagi saya adalah niat untuk menjadikannya lebih baik daripada semalam. Pagi saya juga diiringi doa agar suami dan anak-anak sihat. Anak-anak tidak meragam dan suami akan senyum panjang menjaga mereka, tanpa rasa tertekan.
Begitulah sahaja rasa hiburan dalam diri di Seoul ini. Hari minggu, jika berkesempatan menziarahi kawan-kawan senegara, sudah cukup nikmat, Alhamdulillah.
Di Kuala Lumpur, hiburan sangat mewah, bintangnya berkerlipan selalu. Saya suka mengatur acara hari minggu dengan pulang ke kampung, ziarah kawan-kawan, ke pusat-membeli belah, kedai buku atau bersantai di rumah dengan menjemput adinda atau rakan-rakan. Saya tidak suka menyendiri. Menghiburkan hati dengan gamatnya suara-suara di persekitaran.
Di rantau, saya cuba hidupkan 'kebisingan' itu juga. Facebook antara acara yang menaikkan gejolak rasa; gembira, pilu, pedih, terhiris, terpukul dan rasa mahu tutup FB pun ada! Namun rindu dan ukhwah menghalang rasa tidak baik. Akan selalu ingat mata bonda yang ralit di kaca komputer membaca catan-catan kami, anak-anaknya.
Dan hari-hari kami sekarang mula dimeriahkan dengan 'sukje' kerja rumah bahasa Korea. Saya mengikuti kelas hari Isnin dan Rabu, suami pula pada hari Ahad.
Charessayo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan