Selasa, 2 Disember 2014

Salju Kami

Salji telah turun di Seoul pada 1 Disember lalu. Kami sekeluarga rasa teruja sehingga sanggup membuka jendela walau sejuknya luar biasa. Dari tingkat enam rumah kami, serbuk-serbuk halus berwarna putih jatuh dari langit, hinggap di bumbung, ranting pohonan, di jalan juga atas kenderaan. Sungguh ceria pagi itu, membenamkan rasa sejuk yang melampau dari sebelumnya.


Belajar dari kehidupan Allahyarham Prof Dr Umar Kayam

Minggu ini, saya perlu membentangkan secara ringkas tentang Umar Kayam; sasterawam sosiologis dari Indonesia. Buku Umar Kayam Luar Dalam saya baca untuk mencari sisi-sisi yang boleh saya olah di kelas nanti. Buku ini memuatkan tulisan orang-orang terdekat Umar Kayam tentang beliau. Umar Kayam meninggal dunia pada Mac 2002. Satu tulisan yang dikarang Yus Kayam; isteri Umar Kayam amat dekat dengan saya.

Cerita Ibu Yus Kayam, pada 1961, dia mengikut suaminya, Umar Kayam ke New York untuk menyambung master. Mereka menyewa sebuah bilik kecil yang tandasnya berkongsi dengan jiran sebelah. Malam-malam, anak kecil mereka selalu menangis dan mendatangkan kemarahan jiran. Sehingga akhirnya, tuan rumah tidak lagi mengizinkan mereka tinggal di situ. Mereka berpindah-randah selepas itu. Akhirnya selama lebih empat tahun, Umar Kayam berjaya menyelesaikan master dan Phdnya di Amerika Syarikat.


Membaca pengalaman ini membuatkan saya rasa bersemangat. Sungguh dekat dengan kehidupan saya sekarang. Rumah yang kecil, anak-anaknya bising dan berkarenah, saya pula berperang dengan tanggungjawab yang pelbagai. Saya berharap dapat mengiktibari Umar Kayam dalam perjalanan akademik dan kesusasteraan.

Salji terus jatuh. Dingin menyebabkan tubuh dan jiwa selalu dingin. Ini memerlukan kesabaran. Orang yang kuat berani menghadapi salji dan menghadapi hidup yang mencabar sekaligus. Bukankah semua itu Allah SWT yang telah suratkan?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan