Ke Mana Menghilangnya MH370?
Petang nan dingin, jenuh saya memaksa Darda' tidur. Sambil menepuk-nepuknya, saya mendendangkan nasyid yang biasa saya lantunkan di telinga Darda' ketika di Malaysia. Tiba-tiba, air mata saya bergenang dan mengalir. Saya amat rindukan mak, ibu mentua, abah, tokwan, adik-adik, semuanya. Setakat hari ini saya belum lagi mendengar suara mak, ibu mentua dan tokwan. Telefon saya tidak dapat lagi 'menyeberangi' talian Malaysia.
"Umi syedih (sedih)?" tanya Darda' sambil melihat air mata saya. Saya kesat dan senyum padanya. Cuba membuang rasa pilu jauh-jauh. Perjuangan baru bermula.
Selepas Maghrib, saya membaca akhir Surah an-Nur:
"Ketahulilah , milik Allahlah apa yang di langit dan di bumi. Dia Mengetahui keadaan kamu sekarang. Dan Mengetahui pula hari ketika mereka dikembalikan kepadaNya, lalu diterangkanNya kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan. Dan Allah Maha Mengetahu segala sesuatu."
Ayat ini benar-benar memujuk hati. Walaupun jauh dari tanah air, saya masih berada di bumi milik Allah. Allah yang Menjaga semuanya. Allah yang Menyusun semuanya.
Kehilangan pesawat MAS juga dalam PengetahuanNya. Saya dan keluarga menaiki MH006 Selasa lalu. Allah mentakdirkan perjalanan kami selamat. Semuanya tidak lepas dari susunanNya. Dan kita perlu setiap masa bergantung padaNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan