Para jemaah turun dari Masjid Itaewon
Tidak terlambat rasanya ingin mengucapkan Salam Idul Adha 2014 buat semua pembaca. Ini adalah Hari Raya Korban saya yang kedua di luar Malaysia. Kali pertama di Damsyik, Syria pada Disember 2006.
Petang menjelang 10 Zulkaedah 1435, saya berjalan ke pasar. Dalam kepala sudah memasang niat untuk memasak Kroket Sayur. Menunya saya dapati daripada Mbak Miety, jiran Indonesia kami. Esok pagi, kami akan bertandang ke rumah teman-teman di Itaewon, jadi saya akan membawa makanan tersebut. Perjalanan ke pasar menjadi panjang apabila mata asyik menekan punat kamera; ada sahaja pemandangan baru yang menarik. Saya gelihati melihat kedai-kedai baju dan aksesori anjing di sini, mirip sekali dengan kedai pakaian bayi di Malaysia. Agaknya, anak anjing dengan bayi di Seoul mana yang lebih banyak dan ramai?
Darda' pakai baju Melayu
Malamnya, saya katakan pada suami, kami harus mendengar tazkiran atau ceramah dari Youtube untuk membangkitkan rasa Iduladha yang sunyi di kawasan kami. Jadi, suami membuka ceramah Dr Zakir Naik. Sambil menyediakan bahan-bahan membuat Kroket Sayur, suami pula mendukung Dawud dan melayan Darda', telinga kami menangkap bait-bait pidato agama Dr Zakir Naik. Masya Allah, sungguh besar hikmahnya Allah menciptakan seorang sosok seperti Dr Zakir Naik yang mampu berhujah dan mengingati ayat-ayatNya atas tujuan memenangkan Islam di akhir zaman. Ramai sekali memeluk Islam selepas mendengar syarahan beliau. Sungguhlah, ini pengorbanan yang amat penting sekarang; menghabiskan usia untuk mencari dan menyampaikan ilmu Allah, seluas bumi di mana sahaja ada manusia.
Saya tidak sedar yang jam sudah melewati 1.30 pagi. Rupanya membuat Kroket Sayur harus sabar, banyak tahapnya. Esok kami mahu pergi solat Iduladha, justeru wajib tidur dahulu. Dawud dan Darda' tidur lewat malam itu.
Bersama Balqis, puteri Amar dan Aina
Kami tidak sempat berjamaah di masjid. Waktu kaki menapak di bukit Itaewon, para jemaah Muslim pelbagai bangsa turun dari masjid. Meriah amat suasananya, walaupun tidak sepadat Mekah. Seorang lelaki muda (saya jangka pemuda Arab Saudi) mengeluarkan duit dari dompetnya lalu diberikan kepada Darda' dan Dawud. Semoga Allah membalas kebaikan beliau bersedekah di pagi yang mulia.
Dan hari ini, kami berkumpul di rumah Ammar dan Aina. Tanpa ketupat palas, hari raya sangat bermakna berkumpul dengan Muslim senegara.
Allahuakbar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan