Bersama Darda' ke universiti
Malam adalah pusaran yang menyenangkan, kerna esok akan terbit hari yang baru dan mendekatkan kami pada pertemuan dengan tanah air (dengan izinNya). Begitulah yang bergayutan di relung fikir setiap mata terjaga dari tidur, ingatan pada mak, abah, wan dan seluruh keluarga di Malaysia.
Hijrah adalah perjuangan; menyesuaikan diri dengan alam dan persekitaran, bersederhana, menahan rindu, mengukuhkan iman dan sabar.
Rutin saya hampir sama setiap hari, cuma sedikit berbeza di hari kuliah: Isnin, Selasa dan Rabu.
Bangun jam 4.50 pagi untuk Subuh, tidur semula bersama Dawud sebelum bangun menyediakan sarapan. Jam 8.30 pagi saya akan mandikan Dawud, suami pula mandikan Darda'. Selepas susukan Dawud, saya ambil kesempatan pam susu badan untuk stok Dawud sepanjang saya ke universiti.
Hari Isnin, jadual luar saya bermula 10.30 pagi di Perpustakaan Modoo, belajar bahasa Korea. Oleh itu, saya perlu berada dalam perut bas selewatnya jam 10 pagi. Kuliah di universiti pula akan bermula jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang. Sebelum pulang ke rumah, biasanya akan solat dahulu di mana-mana bilik kuliah yang kosong. Solat sambil duduk di kerusi mengadap kiblat dari arah tunjuk telefon bimbit.
Tiba di rumah semula jam 4 petang setelah dua kali menukar bas di Stesen Seokgye. Bas 1222 dari Hangkuk University of Foreign Studies kemudian sebarang bas bernombor 1055, 1056, dan 1441 yang akan berhenti dekat dengan bangunan studio kami.
Hari Selasa pula, saya keluar jam 8.45 pagi kerana kuliah bermula jam 9.30 pagi; kuliah yang paling menyeronokkan kerana hanya saya sahaja pelajar, dan Profesor Koh Young Hun sebagai pensyarah. Biasanya, dia akan beri laluan kepada saya dulu untuk menerangkan silibus kuliah minggu tersebut. Minggu ini misalnya kami bincangkan tentang Chairil Anwar, pemuisi ulung Indonesia. Selepas saya terangkan apa yang telah saya baca dan analisis tentang tokoh itu, Prof Koh pula akan memasang slide dan memulakan syarahannya. Dia begitu profesional walaupun hanya saya pelajar dalam kelas itu. Kuliahnya juga panjang, 2-3 jam tepat.
Hari Rabu, kelas bahasa Korea jam 10.30 pagi. Kali ini saya bawa Darda' bersama kerana tiada kuliah di universiti. Dia akan bermain-main di perpustakaan itu dengan beberapa teman kecil sepanjang saya belajar. Pulang dari kelas, biasanya akan bagi Darda' upah iaitu banana uyu (susu pisang yang sangat sedap) sebelum kami pulang dengan bas.
Rutin malam saya sama sahaja, menyediakan makan malam, dan tidurkan anak-anak. Setelah mereka tidur, baharu dapat membaca atau menaip dengan baik. Kadang saya menonton filem dengan suami jika filem itu sarat pengajaran. Saya lebih senang menghabiskan masa di depan laptop. Ada tiga tugasan penting yang perlu disiapkan sekarang, buku biografi Datuk Kaharuddin Mokmin, kertas kerja pembentangan Kolukium Bahasa Melayu di universiti bulan depan dan tesis, Jika tidak menaip, saya perlu membaca artikel jurnal sebanyak mungkin. Waktu anak-anak tidur adalah waktu paling efisien dan 'emas'.
Hari minggu kami, saya usahakan untuk hiburkan Darda', bawanya ke taman, zoo atau rumah rakan. Jika saya tidak keluar, suami akan bawa Darda' keluar mencari hiburan jiwanya. Kadang, kami sambut tetamu yang ingin bertandang.
Putaran masa bergerak pantas. Sudah masuk di bulan-bulan hujung 2014. Oktober ke November, cuaca sejuk mula mengambil tempatnya, di mana-mana di Seoul ini. Setiap putaran masa sebenarnya mendekatkan pertemuan dengan Allah SWT. Semoga Dia masih memberi usia kepada kita semua untuk saling berkasih-sayang, berbakti kepada ibubapa dan menuntut ilmuNya yang amat luas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan