Ahad, 15 Mac 2015

Hari Pertama Darda' ke Tadika


"Cikgu baik tak Darda'?" tanya saya dan suami ketika berjalan kaki pulang ke rumah.
"Cikgu baik. Cikgu tak bagi Darda' keluar..." jawabnya. Kami berdua ketawa.
Jauh di sudut hati, saya tahu ianya tak mudah buat si kecil 4 tahun ini. Di universiti, walaupun saya tidak pandai bahasa Korea, masih boleh bercakap Inggeris bahkan Melayu dengan teman-teman Korea.
Tetapi Darda' dan guru serta rakan-rakan tadikanya, masing-masing mempertahankan bahasa ibunda sendiri!
Saya yakin, buat anak yang bersih jiwanya, yang suci fitrahnya, mereka ada kontek hati. Esok atau lusa, mereka pasti serasi walaupun seorang ye..ye..ye, dan ramai orang yo...yo..yo!

Cerita Darda' Balik Korea


Alkisahnya, jam 4 pagi kami perlu bertolak ke KLIA2. Darda' mengamuk tak mahu mandi dan tukar baju, lalu saya bercadang mandikannya di lapangan terbang. Darda' terlalu mengantuk kerana lewat malam main dengan sepupunya Amir Hanifah Hassan.
Selepas check in, kami masuk ke kawasan menunggu. Saya dan suami solat Subuh dahulu. Saya mandikan Dawud, tetapi Darda' mengamuk lagi tak mahu mandi dan tukar baju. Oleh kerana masa sudah suntuk dan mahu menjaga emosinya, kami biarkan saja Darda' dengan 'baju Melayu dan seluar tidurnya'.
Dalam kapal terbang, dua jam pertama Darda' tidur puas, tiga jam berikutnya dia jadi 'buas'. Mulanya dia menangis minta biskut Chipsmore dan Oreo yang ada dalam buku makanan pesawat. Saya buat muka sedih minta pramugari yang sedang sibuk untuk jual pada kami. Malangnya, biskut tiada. Pelbagai aktiviti saya dan suami buat. Saya ajaknya baca majalah Air Asia dan cari gambar kereta, suami pula guna kertas 'alas muntah' buat sampan dan jet untuknya. Lepas Dawud bangun tidur, perhatian saya pada Darda' kurang. Suami yang sangat penat, tertidur. Darda' main sendiri, masuk bawah kerusi kami, menjerit, menyanyi hingga penumpang depan kami merungut-rungut marah. Dan bila bosannya sudah sampai kemuncak, Darda' berlari-lari dari tempat duduk ke tempat pramugari di belakang. Dia selak langsir tempat pramugari sedang rehat. Aduhai...macam kapal terbang tu abi punya!

Masak Maqlubah!

Sesungguhnya, saya seperti tidak percaya saya dapat membuat maqlubah (atas arahan suami) di Seoul. Selama ini saya merasakan ianya satu masakan yang susah , sebelum mencuba memasaknya.

Selepas memasak maqlubah kali pertama, saya berkata pada suami, "Sesungguhnya masak maqlubah lebih mudah dan cepat daripada masak nasi lemak!"

Jenis Manusia Ketiga di Korea: Ajumma!


Saya biasa bertemu ajumma di pasar, mereka berjualan sayur, makanan dan pakaian. Di jalanraya, saya nampak seorang ajumma dengan baju dan topi berwarna merah jambu mengayuh basikal di musim sejuk. Pada hari minggu, dalam tren ramai sekali kelompok-kelompok ajumma yang baru pulang mendaki gunung, lengkap pakaian dan peralatan. Mereka bising sesama sendiri tanpa mengendahkan orang lain. Dalam drama-drama Korea, ajumma digambarkan seorang yang garang, suka menyibuk dan mengumpat jiran, kelam-kabut dan kuat cemburu. Peribadi sesetengah ajumma yang memiliki sifat-sifat buruk ini menyebabkan ada ‘ajumma’ yang tidak mahu digelar ajumma. Dalam buku My Korean Women pula, ajumma disifatkan sebagai galak, keras hati, lembut dan keibuan.
Uniknya ajumma ini sehingga ada orang mengatakan, ada tiga jenis manusia di Korea iaitu lelaki, perempuan dan ketiganya ajumma!

Hadiah Murah Yang Mahal


Saya amat terhutang budi kepada beberapa pegawai bank (Woori Bank) di Hankuk University of Foreign Studies. Ini kerana, setiap kali mahu membayar bil dan sewa rumah, saya perlu minta bantuan mereka dari A hingga Z. Gara-gara mesinnya yang begitu 'Korea'. Mereka melayani saya dengan sabar; seolah-olah kali pertama saya minta tolong (setelah hampir setahun minta tolong!)
Dalam hati saya pernah mahu memberikan hadiah kepada pegawai yang baik itu. Tetapi ini tentu tidak manis. Mereka hanya menjalankan tugas sepenuh hati, saya pula terhutang budi.
Jadi, untuk pertolongan bulan ini, dengan tebal mukanya, saya mengadap pegawai bank lagi; seolah-olah kali pertama minta bantuan. Dengan sabar dan yakin dirinya, dia membantu saya sambil mulutnya menerangkan dalam bahasa Inggeris fasih. Saya yang amat terhutang budi (dan malu juga) mendapat idea untuk membalas budi si pegawai. Sebelum berlalu, saya berkata padanya, "Oh, bahasa Inggeris anda sangat bagus!"
Ajaibnya, saya melihat wajah pegawai bank itu bersinar bahagia, seperti bunga Sakura yang sedang kembang. Apakah selepas ini dia akan sebahagia ini membantu saya lagi? (tentunya bulan-bulan mendatang).
Tadi juga saya makan di restoran ikan bakar depan universiti. Kali ketiga saya makan di situ. Ajumma tuan restoran sudah kenal muka saya, sudah tahu apa yang tidak boleh saya makan. Sebagai membalas kebaikannya saya pun pujinya dalam bahasa Korea, "Sungguh sedap!" Senyum lebar dia.
Begitulah, puji pun satu hadiah yang lumayan membahagiakan orang lain.
Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, " Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu." (Riwayat Tabrani)